Putrajaya: Bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sebanyak RM200 sehektar kepada pesawah di Semenanjung dijadualkan mula disalurkan secara berperingkat mulai 19 Mei, tertakluk kepada jadual serta pengesahan agensi berkaitan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan bantuan itu melibatkan pesawah yang berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bagi musim semasa (keutamaan bagi musim 1/2026).
“Melalui pelaksanaan ini, pesawah akan menerima bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara sekali beri sebelum atau semasa kerja membajak dimulakan.
“Baki RM100 sehektar pula akan disalurkan selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan,” menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan bagi memastikan proses pembayaran lebih cepat dan mudah, penyaluran bantuan akan dibuat terus ke akaun bank pesawah yang berdaftar, selain kemudahan pembayaran tunai melalui pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi kes-kes tertentu.
“KPKM yakin langkah ini akan dapat membantu meningkatkan aliran tunai pesawah, mempercepat persiapan musim penanaman serta memberi keyakinan kepada komuniti pesawah bahawa Kerajaan MADANI sentiasa mendengar keluhan dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi mereka di peringkat lapangan.
“Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan agenda keterjaminan makanan negara diperkukuh melalui sokongan berterusan kepada sektor penanaman padi dan kebajikan pesawah negara,” menurut kenyataan itu.
KPKM dalam pada itu memberitahu bagi pesawah di Sabah dan Sarawak, kadar insentif kekal mengikut kadar sedia ada memandangkan pesawah di kedua-dua negeri berkenaan masih menikmati subsidi diesel.
© New Straits Times Press (M) Bhd



