Sibu: Seorang pelajar Tingkatan Empat maut manakala seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Bahagian Mukah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos berkata pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu kira-kira 8 malam ketika tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk.
Beliau berkata mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahim berkata seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata pihak Sarawak Energy telah dimaklumkan untuk memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.
Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut, manakala kes masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




