'Saya tidak salahkan sesiapa, tak berhasrat ambil tindakan undang-undang' – Bapa arwah Fahmi Hafiz

'Saya tidak salahkan sesiapa, tak berhasrat ambil tindakan undang-undang' – Bapa arwah Fahmi Hafiz

am@hmetro.com.my

Butterworth: “Saya tiada niat mengambil apa-apa tindakan undang-undang susulan kejadian itu, cuma besar harapan saya supaya kejadian menimpa anak kami tidak berulang kepada anak orang lain,” kata Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35.

Mohamad Fakhruddin memberi reaksi itu berikutan pemergian anaknya, Muhammad Fahmi Hafiz, 10, yang meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar kawasan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sungai Dua, Butterworth, Selasa lalu.

Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata, tidak terdetik di hatinya untuk menyalahkan sesiapa, dan dia juga tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang atas tragedi menimpa anak sulung daripada dua beradik itu.

“Kalau diikutkan, saya tidak mahu (mengambil tindakan undang-undang), tetapi kami dinasihatkan berbuat demikian kerana ia berlaku dalam kawasan sekolah.

“Saya dan isteri reda dengan takdir yang sudah tertulis buat keluarga kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara pengebumian arwah anaknya itu, hari ini.

Mengenai keputusan bedah siasat punca kematian anaknya, Mohamad Fakhruddin mengesahkan murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua itu maut akibat tercekik.

Katanya, pada sijil kematian tertera punca kematian anaknya disebabkan hypoxic ischemic encephalopathy consistent with choking complication pneumonia.

“Doktor maklumkan anak saya meninggal dunia disebabkan tercekik gula-gula,” katanya.

Polis sebelum ini turut mengesahkan kematian Muhammad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin selepas didakwa tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.

Jenazah Muhammad Fahmi Hafiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga, di sini, hari ini, selepas disolatkan di Masjid Jamek Kampung Permatang Binjai.

Lebih 150 jemaah hadir, termasuk ahli keluarga, guru-guru, rakan sekolah dan penduduk setempat yang mengenali Allahyarham sebagai seorang anak yang baik.

Sebelum itu, Allahyarham yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 11 malam tadi, dibawa pulang ke rumah nenek sebelah bapanya, Siti Amin Ismail, 61, yang juga seorang guru pengajian al-Quran di Kampung Permatang Binjai.

“Dia hampir setiap malam datang ke rumah mak cik untuk mengaji al-Quran dan belajar silat di kampung ini.

“Dia juga rajin ke masjid untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Sebab itu ramai jemaah yang datang solat jenazah tadi mengenalinya,” kata Siti Amin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top