Melaka anjur tujuh kejohanan tenis kebangsaan, antarabangsa

Melaka anjur tujuh kejohanan tenis kebangsaan, antarabangsa

Melaka: Melaka bakal menganjurkan tujuh kejohanan tenis bertaraf kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun ini, yang akan diadakan di Kompleks Tenis Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Ayer Keroh.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugan berkata, kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari April hingga November itu turut melibatkan kejohanan utama seperti Kejohanan Tenis Jelajah Dunia, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) M15 pada 3 hingga 9 Nov depan.

“Setakat ini 15 negara mengesahkan penyertaan antaranya China, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Arab Saudi dan Indonesia.

“Kejohanan ini juga bakal menghimpunkan ramai pemain ranking ITF, sekali gus ia menjadi platform mengutip mata dan memperbaiki ranking mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persatuan Lawn Tenis Melaka (MLTA) yang turut dihadiri Presiden MLTA Shahrul Hafidz Ab Rahim dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.

Shanmugam berkata, antara kejohanan lain di peringkat kebangsaan pula Kejohanan Siri Tenis Remaja Malaysia pada 21 hingga 25 Mei dan Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia (30 Sept hingga 5 Okt).

Beliau berkata kejohanan di peringkat Asia membabitkan Melaka ATF bagi kategori bawah 14 dan 16 tahun, serta Melaka Heritage International Inter Team (MHIITT) 2025.

“Usaha ini mendapat sokongan penuh kerajaan Melaka yang komited dalam membangunkan sukan tenis sebagai daya tarikan utama, sekali gus dapat mempertingkatkan industri pelancongan sukan di negeri ini.

“Pada tahun lepas kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan RM500,000 bagi kerja baik pulih dan menyelenggara gelanggang di kompleks tenis itu,” katanya.

Shanmugam berkata menerusi inisiatif berterusan dan sokongan padu daripada pelbagai pihak, beliau turut berharap Melaka dapat mengukuhkan kedudukan mereka dalam peta tenis dunia.

Beliau berkata kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ini juga dilihat mampu mencungkil bakat-bakat muda tempatan serta mewujudkan suasana kompetitif yang lebih tinggi dalam sukan tenis negara, sekali gus menaikkan prestasi atlet tempatan.

“Dalam memastikan kejohanan itu berjalan lancar, kerajaan negeri akan memberikan dana kepada MLTA dan menggalakkan penglibatan sektor swasta untuk menaja kejohanan seperti itu melalui MSN bagi mendapatkan pengecualian cukai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top