Manchester: Virgil van Dijk menggesa pemain dan penyokong Liverpool untuk menjadikan Anfield sebagai tempat yang ‘mengerikan’ bagi pasukan lawan ketika mereka sedang berusaha merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Liverpool kini mendahului liga dengan kelebihan 11 mata di hadapan Arsenal yang berada di tangga kedua, dengan hanya 11 perlawanan berbaki, selepas kemenangan 2-0 ke atas Manchester City di Etihad, awal pagi tadi.
Arsenal masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan, tetapi skuad kendalian Arne Slot semakin hampir untuk menyamai rekod kejuaraan liga ke-20 mereka, dengan tujuh daripada baki perlawanan liga akan berlangsung di Anfield.
Liverpool kelihatan agak gugup ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Wolves minggu lalu dan turut kehilangan mata baru-baru ini selepas seri menentang Everton dan Aston Villa.
“Saya ada menyebut selepas perlawanan (menentang Wolves) bahawa adalah perkara biasa sebagai manusia untuk berasa sedikit cemas.
“Dan itu masih boleh berlaku, tetapi saya fikir ia hanya akan membantu kami dan penyokong untuk menjadikan Anfield tempat yang menggerunkan bagi lawan, seperti yang biasa kami lakukan. Sudah tentu, cara permainan kami juga membantu ke arah itu,” kata kapten Liverpool, Van Dijk.
Dia menambah: “Jadi, pastikan tujuh perlawanan (di Anfield) ini menjadi luar biasa, dengan sokongan sekuat mungkin. Saya rasa kita tidak perlu bercakap banyak mengenai perkara ini kerana selalunya memang begitu.”
Jaringan daripada Mohamed Salah dan Dominik Szoboszlai memastikan Liverpool meraih kemenangan liga pertama mereka di Etihad dalam tempoh hampir 10 tahun, sambil memanfaatkan kekalahan Arsenal kepada West Ham sehari sebelumnya.
Penyokong Liverpool mula menyanyikan lagu “We’re going to win the league” pada penghujung perlawanan, menggambarkan keyakinan mereka untuk menjulang kejuaraan liga buat kali kedua sejak 1990.
“Sudah tentu, keputusan pada Sabtu dan keputusan (di Etihad) memberikan keyakinan kepada mereka (penyokong).
“Tetapi bagi kami, tumpuan sepenuhnya adalah kepada perlawanan seterusnya. Itulah yang kami lakukan dan itulah yang saya beritahu kepada rakan sepasukan,” kata Van Dijk, yang kini bersedia untuk perlawanan menentang Newcastle pada Khamis ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




