kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: KMC Medical Centre memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Fujifilm Malaysia dan City Motors Group bagi memperkenalkan sistem pengimejan resonans magnetik (MRI) berteknologi tinggi, sekali gus meningkatkan perkhidmatan diagnostik kepada komuniti di Perak.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas akses kepada perkhidmatan diagnostik berkualiti tinggi pada kos mampu milik.
KMC Medical Centre adalah cabang penjagaan kesihatan City Motors Group melabur dalam teknologi MRI terkini yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imbasan lebih pantas dan jelas.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah KMC Medical Centre, Suresh Kumar berkata, pelaburan dalam teknologi MRI moden itu akan meningkatkan keupayaan diagnostik sambil mengekalkan kos rawatan yang berpatutan.
“Ini selaras dengan komitmen kami terhadap penjagaan kesihatan berpusatkan pesakit,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif City Motors Group, Foo Yit Loong berkata, pelaburan berterusan dalam infrastruktur kesihatan melalui KMC Medical Centre akan memberi manfaat besar kepada komuniti serta menyokong ekosistem kesihatan secara menyeluruh.
Perkhidmatan MRI baharu itu dijangka memberi manfaat kepada pesakit di Ipoh dan kawasan sekitarnya, sekali gus mengukuhkan kedudukan bandar itu sebagai hab kesihatan serantau yang sedang berkembang.
Sistem MRI berkenaan akan menyokong diagnosis awal dan tepat bagi penyakit neurologi, muskuloskeletal serta kronik, selain membantu perancangan rawatan dan meningkatkan hasil kesihatan pesakit.
Selain itu, Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Kensuke Aragane berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dalam membawa teknologi MRI canggih ke Ipoh bagi memperkukuh keyakinan diagnostik dan penjagaan pesakit.
Pada masa sama, inisiatif itu turut membantu mengurangkan tekanan terhadap hospital kerajaan dengan melengkapkan usaha sektor awam dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Pada masa sama, sistem berkenaan turut menggunakan teknologi Zero Helium yang menyokong kelestarian, mengurangkan kos operasi serta memastikan perkhidmatan tidak terganggu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




