mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siapa yang bakal menerajui jawatan penting dan kritikal dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya terjawab apabila badan induk bola sepak negara itu mengumumkan senarai baharu ‘kabinet’ untuk penggal 2025-2029.
Pada mesyuarat pertama jawatankuasa eksekutif badan induk itu, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub mengumumkan nama pengerusi dan timbalan pengerusi bagi setiap jawatankuasa tetap dan jawatankuasa ad-hoc.
Ia menyaksikan Mohd Joehari mengetuai empat jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Darurat, Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan dan Jawatankuasa Infrastruktur.
Jawatankuasa Pengadil yang kerap menjadi tumpuan dan kritikan peminat bola sepak tanah air kekal dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selain beliau turut diberi tanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan.
Bagi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan, Sivasundaram akan dibantu legenda bola sepak negara yang juga bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Dollah Salleh yang memenangi jawatan naib presiden dalam pemilihan FAM, sebelum ini.
Seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pula dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Pertandingan dan Jawatankuasa Hubungan dan Pembangunan Ahli Gabungan.
Mohd Yusoff juga akan dibantu seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang diberi tanggungjawab selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan.
Jawatankuasa Integriti pula dipengerusikan Tan Sri Dr Aseh Che Mat manakala Tan Sri Azam Baki selaku timbalan pengerusi.
Selain itu, Joehari turut menyatakan Datuk Noor Azman Rahman kekal sebagai Setiausaha Agung FAM dan Datuk Ismail Karim kekal sebagai Bendahari FAM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




