Bekas pengurus kilang ditahan minta, terima rasuah RM100,000

Bekas pengurus kilang ditahan minta, terima rasuah RM100,000

am@hmetro.com.my

Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengurus kilang simen di negeri ini disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000, petang semalam.

Suspek yang berusia 50-an ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini.

Sumber berkata, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah balasan mempercepatkan bayaran kerja pembersihan dan membaik pulih dan mendapatkan projek di kilang tempatnya bekerja.

“Siasatan awal mendapat suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2018 hingga 2020 dengan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik sebuah syarikat kejuruteraan melalui pendepositan wang ke dalam akaun miliknya.

“Suspek juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya, hari ini.

Katanya, perintah reman selama enam hari sehingga 2 Mac 2025 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top