Keuntungan Axiata melonjak dua kali ganda kepada RM946.8 juta

Keuntungan Axiata melonjak dua kali ganda kepada RM946.8 juta

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Axiata Group Berhad (Axiata), kembali catat peningkatan dalam untung bersihnya, melonjak dua kali ganda kepada RM946.82 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), berbanding kerugian bersih RM1.99 bilion pada tahun sebelumnya (FY2023).

Peningkatan keuntungan bersih itu didorong oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) yang lebih tinggi, penurunan dalam susut nilai dan pelunasan, keuntungan pertukaran asing pada FY2024 berbanding kerugian pertukaran asing pada FY2023, serta keuntungan daripada penebusan awal hutang sebanyak RM306.1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Vivek Sood berkata, 2024 adalah tahun penting dalam strategi pertumbuhan Axiata 5*5 yang mana penyatuan pasaran akan membuka sinergi, memperbaiki struktur pasaran dan mewujudkan kedudukan yang lebih mampan.

“Dengan penggabungan XL Axiata-Smartfren dijangka selesai pada suku kedua 2025, semua pasaran kami akan beralih ke struktur tiga pemain utama di mana Axiata menguasai lebih 25 peratus pegangan pasaran di setiap negara.

“Walaupun cabaran seperti persaingan di Indonesia dan Malaysia serta ketidaktentuan di Bangladesh, kami optimis dengan peluang daripada kestabilan mata wang, sinergi penggabungan serta pengoptimuman dan pengewangan aset,” katanya pada taklimat media pengumuman kewangan suku keempat 2024 Axiata secara maya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan Axiata, Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil.

Pendapatan Axiata turut melonjak sebanyak 1.9 peratus kepada RM22.33 bilion pada FY2024, meningkat daripada RM22.32 bilion pada FY2023, didorong oleh pertumbuhan di semua syarikat operasi, kecuali bagi operasi telekomunikasi digital di Sri Lanka dan operasi jalur lebar tetap di Indonesia.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah Axiata optimis untuk mencapai kembali keuntungan RM1 bilion, Vivek berkata, pihaknya dalam usaha menyusun semula portfolio serta melakukan beberapa perubahan untuk mencapai keuntungan.

“Sebagai contoh, jika kami bergabung di Indonesia akan ada kos integrasi awal yang mungkin memberi kesan kepada keuntungan di Indonesia.

“Namun, dalam jangka panjang selepas sinergi mula terhasil, keuntungan mungkin jauh lebih tinggi daripada apa yang akan dicapai sekarang,” katanya.

Beliau berkata, Axiata juga menyasarkan menurunkan nisbah hutang bersih 2.5 kali kepada Ebitda menjelang akhir 2026 berikutan bagi tahun kewangan 2024, Axiata berjaya mengurangkan hutang kumpulan kira-kira RM1.7 bilion.

“Salah satu objektif utama kami adalah untuk terus mengurangkan hutang kumpulan kepada di bawah sasaran yang sudah diumumkan secara terbuka, iaitu menurunkan nisbah hutang bersih seperti disasarkan.

“Namun, sukar untuk memberikan sasaran yang tepat sekarang kerana ia bergantung kepada beberapa faktor, salah satunya ialah sebahagian besar hutang berada dalam bentuk dolar Amerika Syarikat, jadi kadar pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit juga akan menjadi faktor utama,” katanya.

Katanya, sebagai sebahagian daripada penggabungan di Indonesia, RM175 juta yang diperoleh akan digunakan untuk membayar hutang lama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top