Caj jalan raya masuk ke Genting Highlands bermula 28 Mei ini

Caj jalan raya masuk ke Genting Highlands bermula 28 Mei ini

Kuala Lumpur: Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB), pengendali sah rangkaian jalan raya Genting Highlands, akan melaksanakan caj jalan raya dalam dua fasa, berkuat kuasa 28 Mei dan 28 Jun 2026.

LCSB memaklumkan bahawa semua pengguna jalan raya yang dibenarkan, selain daripada mereka yang berada dalam kategori dikecualikan, dikehendaki membayar caj jalan berkenaan semasa memasuki Jalan Genting Highlands berkuat kuasa 28 Mei ini.

Bayaran akan dikutip di Pintu Masuk Genting Highlands di Genting Sempah dan Pintu Masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.

Di bawah struktur caj jalan, kereta atau van dalam Kelas 1 akan dikenakan bayaran RM5 di kedua-dua pintu Masuk Genting Highlands dan Pintu Masuk Gohtong Jaya.

Lori sederhana (Kelas 2) akan dikenakan bayaran RM15, manakala lori berat (Kelas 3) akan dikenakan bayaran RM25 di kedua-dua lokasi masuk, Teksi (Kelas 4) akan dikenakan bayaran RM3.30, manakala bas (Kelas 5) akan dikenakan RM5.

“Kenderaan di bawah Kelas 2, 3, 4 dan 5 dikehendaki masuk melalui lorong Lorong Khas atau pengecaman plat lesen (LPR).

“Kenderaan kecemasan, motosikal dan kenderaan persendirian milik penjawat awam yang tempat kerja mereka berada di institusi kerajaan yang dikenal pasti di Genting Highlands dikecualikan daripada caj jalan raya,” menurut LCSB dalam satu kenyataan.

Sementara itu, menurut LCSB, berkuat kuasa 28 Jun, 2026, LCSB akan mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 (kenderaan berdaftar) untuk penduduk tetap Genting Highlands yang layak dan akan menikmati kadar keutamaan 10 peratus lebih rendah daripada kadar biasa setiap kemasukan dengan menggunakan Lorong LPR/Lorong Khas.

“Kenderaan berdaftar tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun, 2026,” katanya.

Sebagai tambahan, LCSB akan memperkenalkan skim pas bermusim selama enam bulan untuk penduduk tetap berdaftar.

Pas bermusim ini akan melayakkan pemegang masuk tanpa had ke Jalan Genting Highlands sepanjang tempoh sah laku melalui Lorong LPR atau Lorong Khas dan mendapat kemudahan lebih baik dan penjimatan kos yang ketara.

“Penduduk tetap yang berminat boleh mendapatkan pas bermusim dengan mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran diperlukan,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top