Jalan rosak punca sesak 20 km ke Gua Musang

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Jalan rosak berhampiran Kampung Lepan Jaya, di sini, dipercayai punca kesesakan teruk berlaku di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis menuju ke Bandar Gua Musang.

Tinjauan mendapati selain berlaku kesesakan di sempadan pintu masuk ke daerah ini dekat Kampung Mentara dan Kampung Merapoh, Pahang jalan terbabit yang kini masih dalam pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) mengalami kerosakan apabila berlubang dan tidak rata.

Pemandu yang melalui jalan terbabit terpaksa memperlahankan kenderaan mereka bagi mengelakkan berlaku kerosakan kenderaan atau tayar bocor.

Salah seorang pengguna, Mohd Asraf Zakaria, 41, berkata setibanya di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Merapoh berlaku kesesakan menuju ke Gua Musang.

Katanya, hampir tiga jam dia bersama keluarga terperangkap dalam kesesakan sebelum tiba di daerah ini.

“Dengan nasihat daripada rakan, saya menggunakan laluan kampung untuk mengelakkan kesesakan di sempadan pintu masuk dekat Kampung Mentara.

“Seorang rakan meminta saya menggunakan laluan kampung iaitu melalui Kampung Mentara Lama, seterusnya ke Kampung Lepan Jaya.

“Walaupun tidak perlu melalui sempadan pintu masuk dari lebuh raya LTU Kuala Lipis, saya masih terperangkap dalam kesesakan apabila difahamkan terdapat jalan rosak selepas Kampung Lepan Jaya sehingga menyebabkan pemandu memperlahankan kenderaan mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, berlaku kesesakan hampir 20 kilometer bermula pintu masuk daerah ini dekat Kampung Mentara.

Katanya, kenderan juga perlahan di lencongan projek pembinaan LTU namun trafik lancar selepas lokasi terbabit.

“Setakat ini kita hanya memantau pergerakan kenderaan dan berharap kepada pengguna jalan raya supaya dapat bersabar dan bertolak ansur ketika diatas jalan raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top