PETALING JAYA: Had umur minimum untuk mengambil lesen motosikal boleh dipertimbangkan dinaikkan secara berperingkat selaras dengan membendung masalah kegiatan lumba haram dalam kalangan bawah umur.
Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata, pendekatan itu boleh dipertimbangkan bagi memastikan sebarang perubahan terhadap syarat kelayakan mengambil lesen motosikal dilaksanakan secara terancang.
Katanya, cadangan menaikkan had umur minimum daripada 16 tahun perlu dilihat dalam konteks usaha meningkatkan keselamatan jalan raya khususnya membabitkan golongan penunggang muda.
Memuatkan artikel berkaitan…
Bagaimanapun, pelaksanaan secara berperingkat boleh dipertimbangkan dengan mengambil kira keperluan mobiliti golongan muda termasuk mereka yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian.
“Lesen kereta boleh diambil pada usia 17 tahun. Lesen ambil motosikal juga perlu dilaksanakan secara berperingkat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan cadangan menaikkan had umur minimum mendapatkan lesen motosikal kepada 18 tahun sebagai antara langkah membendung kegiatan lumba haram dalam kalangan remaja.
Shaw Voon berkata, kenaikan had umur semata-mata tidak akan memberikan kesan yang diharapkan sekiranya golongan yang tidak mematuhi undang-undang terus dibiarkan tanpa tindakan.
Justeru, kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan usaha meningkatkan keselamatan penunggang muda dapat dilaksanakan dengan berkesan. – UTUSAN




