Pelakon dan penyanyi sensasi, Fattah Amin akur dengan pandangan segelintir netizen yang kurang senang dengan tindakannya yang sering berkongsi hantaran di platform media sosial nya.
Kata Fattah, dia tidak meminta untuk diviralkan namun, itu adalah tanggungjawabnya sebagai seorang selebriti untuk berkongsi perkara berfaedah.
“Saya rasa itu yang perlu kita bayar apabila kita menjadi seorang selebriti yang diberi perhatian.
“Apa sahaja yang kita buat ada sahaja perkara-perkara yang orang akan beri perhatian.
“Tetapi sebagai selebriti tanggungjawab kita adalah berkongsi perkara berfaedah.
“Ada iktibar yang boleh diambil. Saya tak nak dan saya tak minta untuk di viralkan untuk perkara-perkara yang tidak bermanfaat.
“Macam saya sendiri pun tertanya-tanya kenapa nak viralkan hal berkaitan peribadi saya.
“Saya meletakkan diri saya sebagai peminat atau netizen “apa benda berita yang keluar ni tak de manfaat untuk aku?”,” ulasnya.

Fattah berkata demikian ketika ditemui usai sidang media drama terbaharu terbitan Viu berjudul Bidaah yang diadakan di Aloft Hotel, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Fattah atau nama penuhnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata, dia juga enggan menjual cerita peribadinya apatah lagi jika ia tidak mendatangkan manfaat.
“Pandangan saya sebagai selebriti saya pun tak nak menjual cerita personal dan saya pun tak nak kalau boleh cerita mengenai saya yang tak ada manfaat untuk dikeluarkan.
“Tapi saya juga faham rakan media buat kerja, terima kasih dan itulah benda yang saya rasa,”katanya ringkas.
Sebelum ini, kisah mengenai aktor itu seringkali menuai tumpuan masyarakat selepas gosip cintanya bersama penyanyi, Amira Othman hangat diperkatakan.
Untuk info, selain Fattah, drama rantaian 15 episod ini turut dibintangi pelakon hebat iaitu, Faizal Hussein, Fazlina Ahmad Daud, Riena Diana, Vanida Imran, Marisa Yasmin, dan ramai lagi.



