Melaka perintis wujudkan Tabika Berkeperluan Khas bersama Kemas

Melaka perintis wujudkan Tabika Berkeperluan Khas bersama Kemas

am@hmetro.com.my

Melaka: Negeri ini dipilih menjadi perintis kepada pelaksanaan Tabika Berkeperluan Khas yang dibangunkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi Program Pembangunan Anak Autisme di negeri ini.

Ketua Menteri , Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata program yang akan mula beroperasi Julai depan itu membabitkan tiga lokasi masing-masing di Alor Gajah, Melaka Tengah dan Merlimau.

Katanya, sejumlah RM300,000 diperuntukkan bagi pelaksanaannya dan tidak menolak kemungkinan akan diperluaskan lagi jika projek rintis itu berjaya.

“Dengan mewujudkan Tabika Berkeperluan Khas ini, kita dapat memberi ruang kepada kanak-kanak autisme belajar dalam persekitaran yang lebih selesa dan sesuai, sekali gus membantu mereka memperoleh pendidikan yang memenuhi keperluan unik mereka.

“Inisiatif ini adalah satu langkah strategik yang amat penting dalam mengembangkan pendidikan inklusif di negara kita,” katanya semasa merasmikan Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Kemas peringkat negeri di Kompleks Komuniti Kemas, Telok Mas di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man.

Ab Rauf berkata, usaha itu juga membuktikan, keprihatinan kerajaan negeri melalui Kemas dalam memastikan semua golongan menerima pendidikan yang berkualiti.

Katanya dengan sokongan daripada semua pihak, khususnya pendidik masyarakat yang terlatih dan penyediaan fasiliti yang sesuai, menyaksikan perubahan yang positif dalam perkembangan kanak-kanak autisme.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top