Israel, Hizbullah setuju gencatan senjata – Laporan

Israel, Hizbullah setuju gencatan senjata – Laporan

Geneva: Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan Israel dan Hizbullah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata, hari ini selepas pertempuran maut antara kedua-dua pihak di Lubnan yang dilihat menjejaskan perjanjian untuk menamatkan perang di Asia Barat.

Perbincangan yang dijadualkan berlangsung antara AS dan Iran di Switzerland, hari ini dalam usaha membawa perjanjian itu ke peringkat seterusnya terpaksa ditangguhkan susulan pertempuran itu dan tiada sebarang tarikh baharu diumumkan.

Perunding utama Tehran memberi amaran, Iran tidak akan berkompromi terhadap ‘garis merah’ yang ditetapkan dan jari mereka masih ‘di picu senjata’ walaupun aktiviti perkapalan dilihat kembali meningkat di Selat Hormuz yang hampir ditutup sepenuhnya sepanjang perang meletus.

Perjanjian yang ditandatangani minggu ini oleh Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya dari Iran, Masoud Pezeshkian, bertujuan menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari lalu, yang turut mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Perjanjian itu juga bertujuan menghentikan pertempuran di Lubnan, yang menurut Iran wajib dimasukkan dalam mana-mana perjanjian namun kempen ketenteraan Israel yang berterusan di negara itu dilihat punca kekecewaan Washington.

Tentera Israel hari ini berkata, mereka menyerang lebih 80 sasaran Hizbullah di Lubnan dan membunuh puluhan anggota kumpulan yang disokong Iran itu.

Lubnan pula melaporkan 21 terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan negara itu, hari ini manakala tentera Israel hanya mengesahkan, empat anggotanya terbunuh, sekali gus mencetuskan kemarahan dalam negara.

Bagaimanapun, seorang pegawai AS memberitahu AFP, gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah yang berkuat kuasa serta-merta berjaya diusahakan oleh pengantara AS dan Qatar selepas rundingan dengan Israel dan Iran.

Seorang diplomat dari negara Teluk turut mengesahkan gencatan senjata itu.

Gencatan senjata terdahulu yang dipersetujui pada April lalu gagal menghentikan serangan oleh kedua-dua pihak, malah, beberapa jam sebelum pengumuman itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata tenteranya akan kekal di Lubnan ‘selama mana yang perlu’ dan Hizbullah akan membayar ‘harga yang mahal’ atas serangannya.

Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir pula berkata, selepas kematian anggota tentera Israel, ‘seluruh Lubnan mesti dibakar’.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi juga mengecam Israel dengan mengatakan hanya berminat terhadap ‘perang yang berterusan’.

Sementara itu, persiapan sudah dibuat untuk menerima delegasi Iran dan AS yang diketuai oleh perunding utama Tehran, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Naib Presiden AS, JD Vance, di pusat peranginan Burgenstock yang menghadap Tasik Lucerne di Switzerland.

Perbincangan itu sepatutnya memulakan tempoh rundingan selama dua bulan bagi membincangkan isu-isu yang masih belum diselesaikan dalam perjanjian awal, khususnya program nuklear Iran.

Kementerian Luar Switzerland mengesahkan rundingan itu ditangguhkan tetapi menegaskan negara itu ‘masih bersedia memudahkan perbincangan berkenaan’.

Financial Times yang memetik sumber diplomatik melaporkan, serangan terbaru Israel ke atas Lubnan menyebabkan penangguhan rundingan itu, namun tiada pengesahan rasmi diberikan.

Seorang sumber diplomatik dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula berkata, terdapat ‘dua pihak yang menggagalkan’ perjanjian berkenaan iaitu Israel yang ‘tidak menyukainya’ serta golongan garis keras dalam Iran.

Sementara itu, Ghalibaf hari ini berkata, rundingan dengan AS tetap tertakluk kepada ‘garis merah’ Tehran.

“Jika musuh bertindak melampaui batas, kami akan membuktikan bahawa jari kami berada di picu senjata dan tidak teragak-agak untuk memberikan tindak balas yang menghancurkan kepada musuh,” katanya seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA.

Sementara itu, Vance menunjukkan tahap kekecewaan yang jarang dilihat daripada pegawai kanan AS terhadap Israel apabila beliau memberitahu New York Times, ‘anda tidak boleh menyelesaikan setiap masalah keselamatan negara hanya dengan membunuh’.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top