kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: RHB Bank Bhd (RHB Bank) merekodkan keuntungan lebih tinggi kepada RM3.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, melonjak 11.2 peratus berbanding RM2.8 bilion yang diraih pada 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata, prestasi kewangan kumpulan tahun lalu membuktikan keberkesanan strategi korporat Together We Progress 24 (TWP24) yang mendorong pertumbuhan mampan dan meningkatkan kecekapan operasi.
Katanya, prestasi positif kumpulan perkhidmatan penuh bersepadu itu disokong pendapatan lebih tinggi kepada RM8.6 bilion, menokok 10.7 peratus, dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam pendapatan berasaskan dana bersih dan bukan dana bersih.
“Keuntungan bersih sebanyak RM3.1 bilion serta peningkatan pulangan ke atas ekuiti (ROE) kepada 10.04 peratus mencerminkan pelaksanaan yang berdisiplin dan komitmen kami dalam mencipta nilai jangka panjang.
“Kami juga akan terus mengekalkan amalan pengurusan risiko yang ketat untuk mengharungi ketidaktentuan pasaran,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan kewangan 2024 di sini, hari ini.
Mohd Rashid berkata, momentum itu menjadi asas kukuh untuk fasa pertumbuhan seterusnya ketika kumpulan melaksanakan hala tuju strategik baharu, PROGRESS27, bagi memperkukuh daya tahan dan meletakkan RHB pada kedudukan lebih kukuh untuk kejayaan masa depan.
Menurutnya, pertumbuhan jumlah pendapatan RHB didorong oleh peningkatan 6.2 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih serta kenaikan 21.3 peratus dalam pendapatan bukan dana bersih.
Ia disokong oleh peningkatan pendapatan yuran, keuntungan bersih daripada pertukaran asing dan derivatif, pendapatan dagangan dan pelaburan bersih, pendapatan insurans bersih serta keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan strategik RHB Securities Vietnam Company Limited dan RHB Securities (Thailand) Public Company Limited yang masing-masing berjumlah RM33.6 juta dan RM51.6 juta.
Mengulas mengenai unjuran 2025, Mohd Rashid berkata, RHB Bank kekal fokus untuk mengekalkan pertumbuhan kukuh tahun ini disokong jangkaan ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan pada kadar 5.0 peratus.
“Dengan prsopek ekonomi negara yang berdaya tahan didorong permintaan domestik yang kukuh, pelaburan infrastruktur serta peralihan berterusan ke arah ekonomi digital dan karbon rendah, ia meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk merebut peluang sambil mengekalkan disiplin kewangan yang berhemat.
“Malah, Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 3.0 peratus, menyediakan persekitaran ekonomi yang menyokong termasuk perkembangan positif kepada RHB Bank,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




![[SALAM PERANTAUAN] Semoga dapat bertemu kembali [SALAM PERANTAUAN] Semoga dapat bertemu kembali](http://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-30-at-14.17.44.jpeg)