nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius tindakan sekumpulan penduduk yang terpaksa ‘turun padang’ bagi membantah aktiviti perjudian haram di Jalan Cempaka, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, Johor Bahru.
Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan itu mencerminkan keresahan dan kekecewaan masyarakat terhadap kewujudan aktiviti perjudian haram yang didakwa masih beroperasi secara terbuka walaupun pelbagai operasi penguatkuasaan dilaksanakan.
“Pada pandangan MCW, kejadian ini bukan sekadar isu perjudian semata-mata tetapi turut membabitkan persoalan keberkesanan penguatkuasaan, integriti serta tahap respons pihak berkuasa terhadap aduan masyarakat.
“Apabila penduduk merasakan suara mereka tidak didengari atau tindakan tidak diambil dengan segera, mereka cenderung mengambil inisiatif sendiri bagi menyuarakan bantahan.
“Namun, sebarang tindakan dilakukan orang ramai harus dijalankan secara aman dan mengikut saluran undang-undang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Justeru itu, katanya, MCW menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh.
Katanya, tindakan itu bagi mengenal pasti dalang, rangkaian kewangan serta individu yang melindungi kegiatan berkenaan sekiranya wujud.
“Aktiviti perjudian haram tidak mungkin mampu bertahan lama tanpa wujudnya rangkaian sokongan tertentu sama ada daripada sindiket, orang tengah atau kelemahan penguatkuasaan.
Beliau turut mencadangkan supaya mekanisme pemantauan berasaskan komuniti lebih efektif diwujudkan termasuk saluran aduan telus, perlindungan pemberi maklumat serta tindakan susulan yang boleh diukur.
“Sekiranya terdapat dakwaan kecuaian, salah guna kuasa atau perlindungan terhadap sindiket perjudian haram, maka siasatan oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dipertimbangkan.
“MCW berpandangan bahawa membanteras perjudian haram memerlukan pendekatan menyeluruh membabitkan penguatkuasaan berterusan, kerjasama komuniti serta integriti yang tinggi dalam kalangan agensi penguat kuasa.
“Kegagalan menangani isu ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara,” katanya.
Semalam, Harian Metro melaporkan kira-kira 20 penduduk ‘turun padang’ bagi membantah aktiviti perjudian haram di Jalan Cempaka, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di Johor Bahru.
Ketua kampung merangkap pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Zain Sungib dilaporkan berkata, bantahan aman itu diadakan selepas isu aktiviti perjudian haram di perkampungan itu tiada penyelesaian.
Beliau berkata, biarpun terdapat tindakan dilakukan pihak berkuasa namun aktiviti perjudian masih dijalankan secara bebas hingga dikhuatiri mengakibatkan lebih ramai penduduk termasuk umat Islam terjebak.
Menurutnya, isu berkenaan bukan perkara baru namun ia bukan menjadi alasan penduduk bagi membiarkan ia berleluasa hingga mengakibatkan ‘ketagihan’ terutama dalam golongan muda.
Katanya, bantahan itu dimaklumkan kepada pihak polis bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd




