Fazura Dedah Sarimah Ibrahim Antara Rakan Selebriti Terawal Ambil Berat – “Selalu Kirim Surah & Beri Dorongan…”

Fazura Dedah Sarimah Ibrahim Antara Rakan Selebriti Terawal Ambil Berat – “Selalu Kirim Surah & Beri Dorongan…”

Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura, berkongsi bahawa aktres Che Puan Sarimah Ibrahim merupakan antara rakan selebriti terawal yang mengambil berat tentang dirinya serta puteri sulungnya, Nur Fatima Aisya, ketika diuji dengan dugaan dalam rumah tangga tahun lalu.

Menerusi satu hantaran di Instagram (IG), Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 42, mendedahkan bahawa Sarimah sering mengirimkan kata-kata semangat serta surah-surah yang menenangkan hatinya.

“Dalam industri ini, ramai yang mendakwa diri mereka sebagai penyokong wanita dan sumber inspirasi. Namun, di sebalik pelbagai cerita yang tersebar mengenai Sarimah, saya yang mengenalinya sejak sekian lama tahu siapa dia sebenarnya.

“Dialah antara insan pertama yang menghulurkan tangan tahun lalu, bertanya khabar tentang saya dan Fatima, serta tidak pernah jemu memberi kata-kata semangat dan surah-surah penyejuk hati. Inilah makna sebenar seorang wanita yang menyokong dan menguatkan wanita lain,” luahnya.

Bintang filem Pisau Cukur itu turut memuji Sarimah sebagai seorang wanita yang penuh inspirasi.

“Saya tidak pernah menilai seseorang berdasarkan luaran atau penampilan, sebaliknya melihat pada hati dan niat mereka. Sarimah, awak seorang wanita yang bijak, baik hati, dan begitu menginspirasikan. Sesiapa yang mengenali awak pastinya bertuah,” tambahnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, ramai peminat dan netizen mendoakan agar persahabatan mereka kekal erat dan terus berpanjangan.

Scroll to Top