Mi sedap, rumah pengurusan jenazah jadi tumpuan

Mi sedap, rumah pengurusan jenazah jadi tumpuan

Beijing: Sebuah rumah pengurusan jenazah di China menjadi destinasi tidak dijangka bagi pencinta makanan, malah ada yang sanggup menyamar sebagai saudara-mara orang yang meninggal dunia kerana hanya untuk merasai mi lazat disajikan di kantin di situ.

Mi itu menjadi tular selepas seorang blogger makanan memuji keenakan mi yang disajikan di kantin Rumah Pengurusan Jenazah Erlong di bandar Kaili, wilayah Guizhou, barat daya China, lapor The Straits Times.

Akibatnya, kantin yang menyediakan makanan untuk pelanggan rumah pengurusan jenazah itu dilaporkan semakin sesak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Kesesakan berpunca apabila ramai berpura-pura menjadi saudara atau rakan kepada mereka yang meninggal dunia.

Mi yang dijual pada harga 10 yuan (kira-kira RM6.50) semangkuk itu mempunyai empat variasi.

Seorang pekerja kantin Rumah Pengurusan Jenazah Erlong memberitahu akhbar harian China, Jiupai News, bahawa kadangkala pengunjung terpaksa menunggu beberapa jam untuk mendapatkan makanan tular itu disebabkan oleh barisan yang panjang.

“Ada orang yang berpura-pura menjadi saudara kepada si mati, sukar untuk membezakan mereka apabila tempat itu sesak dan ia agak sukar untuk dikendalikan,” kata pekerja kantin yang enggan dikenali itu.

Rumah Pengurusan Jenazah Erlong kemudian mengumumkan bahawa ia akan membenarkan sejumlah orang awam untuk makan di premis mereka.

Sebagai permulaan, mereka akan menawarkan 50 mangkuk mi setiap hari secara percuma kepada orang awam, dengan syarat “mereka tidak mengganggu orang yang sedang berkabung,” kata seorang daripada chef kantin Rumah Pengurusan Jenazah Erlong.

Walaupun penduduk tempatan di Kaili sudah lama mengetahui mi yang menambat selera itu, ia menjadi popular pada Februari 2025 selepas beberapa pengguna media sosial berkongsi pengalaman mereka.

“Rakan saya beritahu makanan di rumah pengurusan jenazah ini sangat sedap,” tulis seorang pengguna yang ingin mencuba mi itu dalam hantarannya di aplikasi media sosial China, Xiaohongshu.

“Barisan untuk makanan lebih panjang daripada barisan untuk meletakkan bunga bagi si mati,” kata seorang lagi netizen.

Satu lagi hantaran berkata: “Cef mereka boleh buka restoran sendiri, panggil saja Mi Rumah Pengurusan Jenazah.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top