Honda Malaysia sasar jualan 83,000 unit tahun ini

Honda Malaysia sasar jualan 83,000 unit tahun ini

lizamridzuan@hmetro.com.my

 

Shah Alam: Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 83,000 unit pada 2025 dengan penguasaan pasaran sebanyak 10.6% yang bakal dipacu oleh pengenalan tiga model baharu tahun ini, termasuk Civic Baharu yang dilancarkan pada Januari lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hironobu Yoshimura berkata syarikat yakin terhadap permintaan berterusan bagi model sedia ada serta potensi enjin pembakaran dalaman dan teknologi e:HEV.

“Model e:HEV Honda mencatat pertumbuhan positif, menyumbang hampir 30% daripada jumlah jualan kenderaan hibrid di Malaysia pada 2024 dan teknologi ini mendapat pengiktirafan global, mengukuhkan lagi kepercayaan terhadap kenderaan elektrifikasi Honda,”

“Untuk itu, Honda Malaysia akan melancarkan model elektrik (BEV) pertamanya iaitu e:N1 pada tahun ini sebagai langkah awal dalam strategi elektrifikasi dan ia bukan sahaja memperkenalkan teknologi EV Honda di Malaysia, malah menjadi pemangkin kepada perancangan memperkenalkan tiga lagi model BEV menjelang 2027,” katanya ketika majlis bersama media di sini hari ini.

Untuk rekod pada 2024, Honda Malaysia mencatat jualan 81,600 unit dan penguasaan 10% pasaran, mengekalkan kedudukan sebagai jenama No.1 dalam Segmen Kenderaan Penumpang Bukan Nasional selama 11 tahun berturut-turut serta model HR-V, City, dan CR-V menjadi penyumbang utama jualan.

Selain memperluaskan barisan produknya, Honda Malaysia kini mempunyai 104 pusat pengedar dan tenaga kerja profesional, terus komited untuk memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan terbaik.

Dalam berusaha menjadikan perkhidmatan lebih mesra pelanggan serta efisyen, Honda Malaysia juga fokus kepada elemen pendigitalan yang diperkukuhkan melalui platform HondaTouch yang kini mempunyai lebih 430,000 pengguna aktif.

Honda Malaysia terus berpegang pada prinsip “Powering Progress, Expanding Joy” dengan mengukuhkan barisan model enjin pembakaran dalaman (ICE), e:HEV, serta BEV untuk kekal sebagai peneraju industri dengan penyelesaian mobiliti inovatif dan mampan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top