Kambing panjat bumbung bikin Rokiah terkejut

Kambing panjat bumbung bikin Rokiah terkejut

am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Seorang wanita tidak menyangka bunyi bising di atas bumbung rumahnya di Kampung Padang Lalang, Ayer Paabas, dekat sini, rupa-rupanya angkara dua ekor kambing jantan.

Peniaga rojak, Rokiah Salim berkata, dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, dia yang mengemas di tingkat bawah sebelum terdengar bunyi bising seperti benda bergerak di atas bumbung rumahnya.

“Apabila keluar memeriksa saya terperanjat melihat dua ekor kambing di atas bumbung.

“Mulanya saya sangkakan monyet, dan tak terfikir kambing itu boleh naik atas bumbung,” katanya yang menghubungi bantuan Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah.

Rokiah berkata, dia mengesyaki kambing itu datang dari Kampung Rantau bersebelahan kerana tiada sesiapa di kampungnya membela kambing.

“Saya tidak pasti bila kambing itu naik atas bumbung, tapi sehari dua ini saya perasan ada kambing meragut rumput berhampiran rumah dan biarpun dihalau, ia datang semula.

“Tadi (pagi) anggota APM beritahu ada kesan najis kambing bersepah di sekitar tangki air, mungkin ia menyorok di situ. Terima kasih atas bantuan menangkap kambing berkenaan,” katanya dihubungi di sini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, lima anggota APM bergegas ke lokasi sejurus menerima aduan dan mengambil masa sekitar 30 minit untuk menyelamatkan kambing itu menggunakan tanjul dan tali.

“Kita syak kambing itu memanjat dari bahagian sengkuap zink rumah di belakang yang hampir dengan tanah.

“Anggota kita mengambil masa agak lama kerana kambing berkenaan agak liar dan sukar didekati selain perlu berhati-hati bagi mengelak kerosakan pada bumbung rumah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top