Aisha Retno enggan komen kisah lama

Aisha Retno enggan komen kisah lama

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi, Aisha Retno, 26, mengambil pendekatan tidak memberi komen terhadap seorang individu yang membuka kisah lama didakwa membabitkan mereka di media sosial, baru-baru ini.

Aisha atau nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata, dia berpandangan lebih baik tidak mengeluarkan apa-apa komen kerana individu itu tidak menyebut namanya, sebaliknya sekadar penyataan sahaja.

“Saya tidak ada nak komen apa-apa sebab individu itu pun tidak menyebut nama saya. Jadi biarkan dia buat apa yang diinginkan untuk meluah, tidak ada salah pun dan saya juga tiada komen.

“Apa pun, rasanya sudah tidak ada apa perlu dicerita. Sekarang, saya hanya hendak fokus pada diri dan kerjaya sahaja, tak nak panjang cerita apa-apa. Benda-benda macam ini memang kita serah kepada mahkamah sahaja.

“Itu adalah jawapan terakhir (undang-undang). Jadi, kalau masih nak ‘menyalak’, silakan. Tidak apa, sebab yang penting dia (individu itu) tidak menyebut nama saya,” katanya kepada Harian Metro.

Aisha ditemui pada sidang media Latihan Pestapora Malaysia yang berlangsung di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, di sini, petang tadi.

Penyanyi lagu Jodoh Lebaran itu berkata, dia kini terikat jadual kerja padat dan perlu diberi perhatian seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL), persembahan di Pestapora Malaysia serta perancangan lagu baharu dan album.

Ditanya sama ada mereka memilih jalan seperti berbincang untuk berdamai, katanya sekali lagi dia menegaskan untuk tidak memberi komen sebab semua bermula di alam maya.

“Cuma, kita memang tak pernah berjumpa ke atau apa-apa. Jadi, saya pun tidak tahu macam mana hendak beri maklum balas. Oleh itu, biar serah kepada pihak yang lebih arif untuk selesaikan.

“Apa pun, pada saya satu sahaja jalan terbaik yang ada kita serahkan semua diurus dengan kuasa undang-undang. Itu sahaja tindakan yang patut,” katanya.

Sebelum ini, difahamkan seorang individu didakwa membuat beberapa hantaran di platform Threads meminta untuk seseorang membayar hutang tertangguh kepadanya.

Bagaimanapun, situasi di Threads itu hangat apabila menerusi beberapa komen ditinggalkan netizen sekali gus memetik nama Aisha Retno berikutan penyanyi itu dan individu terbabit pernah berkolaborasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top