Gene Hackman meninggal dunia lebih seminggu sebelum ditemukan

Gene Hackman meninggal dunia lebih seminggu sebelum ditemukan

Sante Fe, New Mexico: Lagenda Hollywood, Gene Hackman dipercayai meninggal dunia lebih seminggu sebelum dia dan isterinya ditemui tidak bernyawa di rumah mereka di New Mexico, kata sherif tempatan pada Jumaat.

Pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap kematian ‘mencurigakan’ Hackman, 95, dan isterinya, seorang pemain piano klasik, Betsy Arakawa, 63, sementara persoalan terus berlegar mengenai bagaimana pelakon tersohor itu boleh meninggal dunia.

Sherif Santa Fe, Adan Mendoza, memberitahu wartawan bahawa mayat pasangan itu yang sebahagiannya mengalami proses mumifikasi tidak mempunyai kecederaan luaran.

Namun, ujian awal menunjukkan kedua-duanya negatif untuk keracunan karbon monoksida.

Terdapat spekulasi awal termasuk daripada keluarga Hackman bahawa mereka mungkin terhidu gas beracun.

Kata Mendoza, ujian telah mula mengenal pasti kemungkinan tarikh kematian mereka.

“Siasatan awal dilakukan ke atas alat pacu jantung Hackman. Keputusan menunjukkan bahawa kejadian terakhir yang direkodkan adalah pada 17 Februari 2025.

“Saya rasa itu adalah anggapan yang sangat munasabah bahawa hari itu adalah kali terakhir beliau hidup,” katanya.

Mayat pemenang Oscar itu dan isterinya ditemui pada Rabu selepas perkhidmatan kecemasan dipanggil ke lokasi kerana pekerja penyelenggaraan tidak dapat memasuki kediaman luas mereka.

Ketika pasukan penyelamat tiba, mereka mendapati pintu rumah tidak berkunci dan terbuka dengan pil bertaburan di sebelah mayat Arakawa yang berada di dalam bilik mandi.

Mendoza berkata, sementara menunggu keputusan ujian toksikologi yang mungkin dapat memberi petunjuk mengenai pil berhampiran mayat Arakawa, penyiasat kini berusaha mengumpulkan garis masa kejadian.

Ini termasuk menyemak diari peribadi, telefon bimbit serta mencari sebarang rakaman video yang mungkin memberi gambaran pergerakan pasangan itu dalam beberapa minggu terakhir mereka.

Namun, katanya, ia adalah tugas yang rumit kerana gaya hidup mereka yang sangat tertutup.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, keluarga Hackman berkata mereka amat berduka atas kehilangan itu.

“Dia disayangi dan dikagumi oleh jutaan orang di seluruh dunia kerana karier lakonannya yang cemerlang, tetapi bagi kami, dia hanyalah ayah dan datuk,” kata anak-anak perempuannya, Elizabeth dan Leslie Hackman, serta cucunya, Annie Hackman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top