LONDON: Jose Mourinho dijangka menerima sebanyak 15 juta pound (RM86.47 juta) daripada Tottenham Hotspur susulan pemecatannya sebagai pengendali kelab itu semalam.
Jurulatih dari Portugal berusia 58 tahun itu dipecat selepas prestasi buruk pada musim ini. Harapan Tottenham untuk kedudukan empat teratas tidak kesampaian selepas terikat 2-2 berdepan Everton pada Jumaat lalu.
Selepas tersingkir daripada kelompok 16 terakhir Liga Europa walaupun berkelebihan 2-0 berdepan Dinamo Zagreb – hari-hari terakhir Mourinho jelas semakin kelam.
Namun pemecatannya tidak kena pada waktunya selepas pengumuman kelab berkenaan terbabit dalam kontroversi penubuhan Liga Super Eropah (ESL) dan kurang seminggu sebelum final Piala Liga menentang Manchester City di Wembley.
Bagaimanapun Pengerusi Tottenham, Daniel Levy memilih untuk berpisah dengan Mourinho. Dan laporan awal mendakwa bekas pengendali Chelsea dan Manchester United itu akan diberikan sagu hati kira-kira 15 juta pound (RM86.47 juta).
Ia bermakna pengendali dari Portugal itu kini mengumpul sebanyak 77.5 juta pound (RM443.90 juta) hanya daripada hasil pemecatannya. Sebelum ini, Roman Abramovich membayar Mourinho sebanyak 18 juta pound (RM103.77 juta) untuk keluar dari Stamford Bridge.
Selepas bersama Inter Milan, Mourinho ke Real Madrid dan memenangi satu gelaran sebelum bergaduh dengan Iker Casillas, Sergio Ramos dan Cristiano Ronaldo.
Skuad Los Blancos sudah tidak tahan dengannya dan presiden kelab, Florentino Perez membayar kira-kira 17 juta pound (RM98.00 juta) untuk dia pulang semula ke Chelsea.
– AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




