am@hmetro.com.my
Kulim: Seorang guru terkejut apabila kereta yang baru diparkirnya di kawasan sekolah menengah di sini, tiba-tiba berundur sendiri sebelum melanggar kantin dan sebuah lagi kenderaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 6.25 pagi tadi ketika guru lelaki berusia 55 tahun meletakkan kenderaan dalam kawasan parkir sekolah.
Bagaimanapun katanya, secara tiba-tiba kereta terbabit hilang kawalan lalu mengundur secara mengejut dan melanggar kantin.
“Guru terbabit cuba mengawal kereta ke hadapan tetapi gagal dan menyebabkan kenderaan melanggar sebuah kenderaan milik guru lain yang sedang parkir.
“Kemalangan berpunca daripada kecuaian guru itu yang gagal mengawal kereta sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan.
“Akibat daripada itu kedua-dua kenderaan itu mengalami kerosakan di bahagian bumper hadapan dan belakang, bonet hadapan, fender bahagian hadapan, lampu hadapan kanan dan kiri, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Mohd Faisal berkata, guru itu hanya mengalami kecederaan ringan di kaki kanan.
Katanya, kes disiasat di bawah RULE 10 LN 166/59.
© New Straits Times Press (M) Bhd




