Pendaftaran Zon Tengah-Selatan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 masih dibuka

Pendaftaran Zon Tengah-Selatan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 masih dibuka

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bukan semua pasukan bawah 16 tahun berpeluang turun ke gelanggang apabila hanya 64 regu terawal bakal mengisi saingan Zon Tengah-Selatan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 anjuran bersama Harian Metro.

Pendaftaran yang masih dibuka memberi peluang kepada pasukan muda seluruh negara merebut tempat dalam kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan, sekali gus menjadikan kuota penyertaan antara perkara utama perlu diberi perhatian pasukan berminat.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, kejohanan itu membuka ruang kepada pemain muda mendapatkan pengalaman pertandingan selain membuktikan kemampuan mereka di gelanggang sebenar.

“Semua pasukan berumur bawah 16 tahun dijemput menyertainya. Bukan saja hadiah lumayan disediakan, tapi inilah peluang untuk pemain muda menunjukkan bakat serta membuktikan kemampuan yang ada.

“Kalau rasa mempunyai kemampuan, inilah masanya untuk tampil dan menguji diri kerana mungkin daripada kejohanan ini mereka boleh membuka laluan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Zon Tengah-Selatan akan berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Paroi, Negeri Sembilan, dari 9 hingga 11 Oktober ini dengan penyertaan terhad kepada 64 regu pertama dan pendaftaran akan ditutup sebaik kuota berkenaan dipenuhi.

Bagi pasukan berminat, pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR yang disediakan pada poster Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 atau secara dalam talian menerusi laman rasmi Harian Metro di www.hmetro.com.my/ligatakrawnasional/index.html.

Daftarkan regu bagi Zon Tengah-Selatan di https://forms.gle/jArxA3gGSeKd18aV9

Husain berkata, kejohanan yang mendapat sokongan dan kerjasama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu turut menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu selain memberi pendedahan pertandingan kepada pemain muda.

“Kita mahu mereka berani keluar dan menunjukkan apa yang mereka ada.

“Jangan hanya berlatih tetapi tidak mempunyai peluang untuk menguji kemampuan dalam pertandingan sebenar.

“Ini peluang untuk mereka mendapatkan pengalaman, menguji diri dengan pasukan lain dan pada masa sama membuka mata jurulatih serta pihak berkaitan mengenai bakat yang mungkin boleh diketengahkan ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Bagi Zon Tengah-Selatan, johan akan membawa pulang RM5,000 berserta piala dan medal, manakala naib johan menerima RM3,000 dan tempat ketiga bersama menerima RM1,500 setiap satu.

Turut disediakan hadiah RM500 untuk pemain terbaik sebelum saingan diteruskan di Zon Utara pada 16 dan 17 Oktober serta Zon Timur pada 20 dan 21 November.

Pasukan yang layak akan mengisi 16 slot untuk mara ke Grand Final pada hujung November.

Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM60,000 dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta PSM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top