Kurma longgok di Jalan Gambier tetap jadi pilihan

Kurma longgok di Jalan Gambier tetap jadi pilihan

mdroji@bh.com.my

Kuching: Walaupun pelbagai jenis kurma dalam kotak ada di pasaran, kurma longgok di Jalan Gambier di sini, terus mendapat permintaan ramai ketika Ramadan.

Banyak jenis kurma boleh didapati di kedai milik peniaga India Muslim yang sememangnya menjadi lokasi wajib dikunjungi penduduk bandar raya ini sejak sekian lama.

Menurut Mohd Bahrum Saini, seorang pekerja kedai di Jalan Gambier, orang ramai suka mendapatkan kurma longgok kerana mereka boleh memilih untuk membeli dalam jumlah yang sedikit.

“Kurma dalam kotak sudah ditetapkan kuantiti tetapi kurma longgok ini pembeli boleh memilih untuk membeli dalam jumlah tertentu.

“Pelbagai jenis kurma dijual secara longgok pada harga antara RM12 hingga RM80 sekilogram,” katanya.

Mohd Bahrum berkata, setiap kali Ramadan kedai di Jalan Gambier itu sentiasa penuh dengan pelanggan yang mahu mendapatkan rempah ratus untuk menyediakan juadah berbuka puasa.

“Selain mendapatkan kurma, penduduk bandar raya ini terutamanya orang lama memang lebih suka memilih untuk mendapatkan rempah di sini kerana harga yang berpatutan,” katanya.

Deretan kedai milik peniaga India Muslim wujud di Jalan Gambier sejak lebih 100 tahun lalu.

Kawasan itu menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan barangan keperluan harian di kedai yang diusahakan oleh peniaga yang datang beramai-ramai dari India sekitar tahun 1911.

Kedatangan peniaga itu selaras dengan dasar pemerintah ketika itu, Rajah Charles Brooke untuk menjadikan Kuching sebagai hab perniagaan utama Borsneo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top