Anak saudara jadi 'talian hayat' buat Fauziah

Anak saudara jadi 'talian hayat' buat Fauziah

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Ibu tunggal terpaksa bergantung hidup dengan anak saudaranya selepas diserang angin ahmar sejak enam bulan lalu.

Fauziah Jusoh, 48, dari Kampung Ladang Sahak dekat sini, berkata, sebelum ini dia melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan harian antaranya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan, operator kilang dan terakhir pembantu kedai makan.

Menurutnya, selepas kini dia bergantung hidup dengan anak saudaranya, Mohd Nazri Abdullah, 31, yang bekerja dengan sebuah syarikat menyelenggara jalan.

Katanya, anak saudaranya menerima gaji hari dan dianggarkan memperoleh RM1,200 sebulan dan dengan wang itu digunakan untuk perbelanjaan harian mereka berdua.

“Sebelum ini, saya mempunyai pendapatan sendiri dan tidak membebankan Mohd Nazri, untuk menyediakan makan minum dan sebagainya.

“Namun, selepas diserang angin ahmar, saya terpaksa bergantung hidup sepenuhnya dengan anak saudara kerana saya kini hilang punca pendapatan,” katanya.

Menurutnya, selain diserang angin ahmar dia turut menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan tekanan darah rendah.

Katanya, dia kini menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), namun bagi sesi fisioterapi terpaksa diabaikan kerana tiada sesiapa yang dapat menguruskannya untuk mendapatkan rawatan itu.

Faridah berkata, dia sudah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan buat masa ini segala perbelanjaannya ditanggung oleh anak saudaranya.

“Kini saya hanya tinggal berdua bersama anak saudaranya itu berikutan adiknya iaitu ibu kepada Mohd Nazri, sudah meninggal dunia.

“Saya berhasrat untuk kembali bekerja sekiranya kesihatan pulih namun buat masa ini ia agak mustahil selain doktor menasihati supaya saya lebih banyak berehat bagi mengelak berlakunya serangan angin ahmar buat kali kedua,” katanya.

Menurutnya, jiran, Salina Isa, 42, banyak membantu terutama ketika anak saudara saya pergi kerja.

Katanya, Salina akan datang membawa makanan dan turut memandikannya jika perlu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 1110429000091171 atas nama Fauziah Jusoh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top