Ribut rosakkan 15 rumah di Kampung Pulau Gadong

Ribut rosakkan 15 rumah di Kampung Pulau Gadong

am@hmetro.com.my

Melaka: Sekurang-kurangnya 15 rumah di Kampung Pulau Gadong, di sini rosak akibat ribut yang melanda kawasan itu kira-kira 4 pagi, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, kejadian berlaku dalam tempoh singkat namun menyebabkan kerosakan besar terhadap beberapa rumah yang hilang bumbung selepas diterbangkan angin.

Menurutnya, kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain menyebabkan kerosakan menjadi lebih serius apabila bumbung yang tercabut turut menghempap bumbung rumah lain.

“Kira-kira 15 rumah terjejas dan ada rumah yang rosak teruk selepas keseluruhan bumbung terangkat.

“Ada juga rumah yang lebih 10 keping atap zinknya tercabut. Difahamkan kejadian berlaku dalam tempoh 20 hingga 30 saat, namun impaknya amat besar,” katanya yang bersyukur tiada penduduk cedera dalam kejadian itu.

Menurutnya, ribut turut menjejaskan infrastruktur bekalan elektrik apabila beberapa wayar dan tiang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) rosak dihempap serpihan bumbung.

“Pihak TNB telah mengambil tindakan pantas dan kini sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan,” katanya yang memaklumkan kampung itu terdedah ribut disebabkan terletak berhampiran kawasan lapang dan di pesisir pantai.

Lim berkata, bantuan baik pulih segera sedang diuruskan dan akan disalurkan segera kepada penduduk agar kerja pembaikan dapat dilaksana segera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top