
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohd Isa Abdul Samad berkuatkuasa pada 8 Jun lalu.
SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri kepada Mohd Isa Abdul Samad berkuatkuasa pada 8 Jun lalu.
Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, penarikan balik kurniaan darjah berkenaan adalah bersangkutan dengan kesalahan Isa Samad yang kini menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia perenggan XXV dan XXVIA yang menyatakan darjah kebesaran boleh ditarik balik jika disabitkan dengan sesuatu kesalahan.
“Serta titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Pada Februari lalu, Mohd Isa yang juga bekas Pengerusi Felda kekal dipenjara enam tahun dan denda RM15.45 juta berhubung sembilan tuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, sebulat suara membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Mohd Isa, 77, oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024.
Mahkamah Rayuan sebelum ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, dengan tambahan 18 tahun penjara sekiranya gagal membayar denda.



