Pembinaan saluran paip gas PGB berjalan lancar

Pembinaan saluran paip gas PGB berjalan lancar

mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerja pembinaan saluran paip gas baharu Petronas Gas Bhd (PGB) sepanjang 42 kilometer ke Pulau Indah, Selangor berjalan lancar dan dijangka siap menjelang awal 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman, berkata pembinaan saluran paip gas membabitkan kos RM541.07 juta itu adalah untuk penghantaran gas ke loji jana kuasa di Pulau Indah.

Beliau berkata, pihaknya menganugerahkan kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi pembinaan saluran paip itu pada Mac lalu.

“Kerja kejuruteraan berjalan lancar dan kami jangka pembinaan saluran paip gas ini akan siap awal 2023,” katanya pada sidang media secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan PGB ke-38, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PGB yang juga Naib Presiden Eksekutif PETRONAS , Adnan Zainol Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas+ Tenaga Baharu dan Ketua Pegawai Kewangan PGB, Shariza Sharis Mohd Yusof.

Abdul Aziz berkata, terdapat beberapa projek baharu yang dikenal pasti PGB sedang di peringkat penilaian dengan bidang tumpuan dalam menyediakan penyelesaian utiliti bersepadu kepada taman perindustrian baharu di koridor selatan dan utara.

“PGB juga meninjau untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga bagi mengukuhkan perniagaan teras menuju ke depan,” katanya.

Mengenai tinjauan prestasi PGB bagi 2021, Abdul Aziz berkata, PGB kekal optimis dengan pemulihan ekonomi susulan pelaksanaan program vaksin COVID-19.

Beliau berkata, perniagaan kumpulan dijangka kekal kukuh disokong oleh kontrak jangka panjang yang diperolehnya meskipun berdepan persekitaran yang mencabar.

Sementara itu, Shariza Sharis berkata, PGB dijangka membelanjakan sekitar RM1.2 bilion hingga RM1.3 bilion untuk perbelanjaan modal (capex) tahun ini, tinggi sedikit berbanding RM1.1 bilion pada 2020.

Beliau berkata, peningkatan capex itu sejajar dengan aktiviti yang dirancang dan jika terdapat projek baharu diumumkan, jumlah berkenaan akan meningkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top