Buruh ditahan kerana miliki dadah dan senjata berbahaya

Buruh ditahan kerana miliki dadah dan senjata berbahaya

am@hmetro.com.my

Mukah: Seorang buruh di sebuah ladang kelapa sawit, di sini, ditahan polis selepas memiliki selaras senjata api disyaki jenis senapang angin, sebilah pedang samurai dan dadah jenis syabu, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias dalam kenyataannya hari ini berkata, hasil maklumat serta risikan dijalankan, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu ditahan pada jam 8 pagi di sebuah rumah di Jalan Mukah-Selangau oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Pemeriksaan dijalankan menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, bahan terlarang itu ditemui dalam kotak rokok yang disimpan dalam sebuah beg silang milik suspek dengan anggaran berat kasar 0.46 gram.

“Pemeriksaan lanjut di bilik suspek turut menemukan selaras senjata api dipercayai jenis senapang angin, sebilah pedang samurai berukuran 79 sentimeter termasuk 80 biji guli dipercayai digunakan sebagai peluru dan satu botol semburan plastik lutsinar,” katanya.

Menurtunya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 9 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top