Keahlian UMNO melonjak selepas PRN Negeri Sembilan

Keahlian UMNO melonjak selepas PRN Negeri Sembilan

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur : Susulan kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, jumlah keahlian UMNO dilaporkan melonjak terutama dalam kalangan golongan muda.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkatay, pendaftaran keahlian baharu UMNO secara dalam talian menunjukkan sambutan luar biasa, kebanyakannya daripada anak muda berusia antara 18 dan 25 tahun.

“Luar biasa sambutan pendaftaran keahlian UMNO secara dalam talian selepas PRN Negeri Sembilan ini.

“Kebanyakannya adalah anak-anak muda antara usia 18 dan 25 tahun. Buat yang berminat, boleh layari laman keahlian UMNO di https://myumno.org/,” kata beliau melalui Facebooknya, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, daripada 18,650 keahlian baharu itu, 54 peratus atau 10,080 ahli ialah di bawah pergerakan Pemuda, 22 peratus (4,156) ialah ahli biasa, 12 peratus (2,288) Puteri dan 11 peratus (2,126) Wanita.

Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16, 1 Ogos lalu, BN, yang membentuk persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti dua pertiga selepas menang di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

BN menang di 18 kerusi, berbanding 14 kerusi pada PRN lalu, manakala PN di tujuh kerusi, berbanding lima sebelum ini, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.

Ia adalah kejayaan berturut-turut BN selepas menang pada PRN Johor Ke-16 pada 11 Julai lalu, yang membentuk kerajaan negeri, dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi DUN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top