am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis Pulau Pinang membongkar sindiket pengedaran dadah apabila merampas dadah termasuk sebuah motosikal bernilai lebih RM1.16 juta susulan penahanan dua individu di Jelutong, di sini, Isnin lalu.
Lelaki warga tempatan dan wanita warga asing berusia 32 serta 42 tahun itu ditahan di lokasi berasingan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menahan suspek lelaki berusia 32 tahun di hadapan sebuah kedai pada 8.34 malam kelmarin dan menemukan serbuk dadah jenis MDMA seberat 118 gram di dalam peket plastik.
Menurutnya, hasil soal siasat, polis dibawa ke tempat letak kereta di kawasan sama dan menemukan sebanyak 50 botol mengandungi cecair jus minuman MDMA seberat 19,700 mililiter (ml) serta 16 cawan berisi dadah jenis sama seberat 627 gram.
“Susulan penahanan suspek, polis dibawa ke unit kondominium di kawasan sama sebelum menahan suspek wanita berusia 42 tahun serta merampas sebanyak 265 peket plastik mengandungi dadah MDMA seberat 6.71 kg serta 23 cawan mengandungi dadah jenis sama, seberat 966 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hamzah berkata, hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak Januari lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 35,000 penagih dadah.
“Saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta termasuk sebuah motosikal berjumlah lebih RM1.16 juta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




