bhnews@bh.com.my
Putrajaya : Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan berhubung siasatan berkait kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau bagaimanapun tidak boleh membuat sebarang ulasan berkaitan siasatan kes terbabit buat masa ini.
“Saya tak boleh nak komen sebenarnya tapi soal siasat, bagi siapa yang selalu kena soal siasat, selalunya akan melalui prosesnya. Jadi perkara itu selalunya mengikut ‘timeline.’
“(Saya) ‘nothing to hide’ (tiada apa-apa hendak disembunyikan),” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Terdahulu, Rafizi tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 9.30 pagi bagi menyambung proses merekod keterangan untuk kali kedua berhubung siasatan terbabit.
Beliau tiba menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo XC60 berwarna gelap dan memakai kemeja putih dan sut hitam.
Ditanya berkenaan proses mengambil keterangan dilaluinya semalam, Rafizi berkata layanan diterimanya baik.
“Layanan semua tu tak ada masalah, memang prosesnya begitu.
“Lagipun ia mudah kerana siasatan ini setakat inilah tidak berkaitan dengan apa-apa wang, apa-apa rasuah, ia soal prosedur.
“Jadi yang itu saya ingat orang yang berada di pihak sayalah. Maksudnya perkara itu rekod semua ada…rekod kerajaan,” katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, sebelum ini dilaporkan berkata siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Rakaman percakapan Rafizi dibuat selepas pembantunya, Chai Jin Shern atau James Chai, diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.
Mohd Hafaz dipetik sebagai berkata, sebanyak 22 keterangan sudah diambil termasuk dalam kalangan menteri dan pegawai kanan beberapa agensi kerajaan sejak siasatan dimulakan pada 13 Februari 2025.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan dalam syarikat asing berkenaan selepas meninggalkan perkhidmatan di sebuah kementerian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




