redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengesyorkan pesawah tempatan diberi kebenaran memproses padi bagi menghasilkan beras untuk mengekang kegiatan kartel.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, usaha memperkasakan pesawah itu perlu supaya mereka dapat menjual hasilnya terus kepada pengguna.
“Dengan cara ini, maka petualang yang menekan pesawah dan menipu rakyat dapat kita banteras.
“Jika tidak, beras tempatan kita hanya mampu didengar tetapi tidak mampu dilihat.
“Mohon Yang Berhormat (YB) Menteri untuk pertimbangkan cadangan ini,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya
Dr Muhamad Akmal memuat naik hantaran itu bagi mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa amalan mencampurkan beras tempatan dan import berlaku sejak 1970-an selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) iaitu di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu dan bukannya ketika pemerintahan kerajaan sekarang.
Dr Muhamad Akmal berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Mohamad namun dulu harga beras tempatan dan import tidak begitu berbeza iaitu antara RM6 hingga RM10 untuk 10 kilogram (kg).
“Kalau dulu bekalan beras putih tempatan juga masih boleh didapati di kebanyakan kedai berbanding hari ini yang seakan hampir tiada wujud di kedai.
“Bila kita desak untuk dakwa petualang, alasan tiada peruntukan undang-undang jelas boleh digunakan pula. Akhirnya rakyat ditipu oleh kartel dengan terpaksa membeli beras tempatan dengan harga beras import.
“Apakah solusi kepada permasalahan ini? Adakah kita hanya melihat?” tulisnya.
Media bulan lalu melaporkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Mohamad berkata, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan khusus yang jelas bagi pendakwaan di mahkamah mengenai kesalahan percampuran beras.
Justeru kata beliau, pada 13 Februari lalu, dua langkah diumumkan kerajaan sebagai usaha awal memastikan keseimbangan dalam industri iaitu menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




