MyNIISe percepat kemasukan pengembara di pintu masuk utama negara, proses hanya 4 hingga 5 saat

MyNIISe percepat kemasukan pengembara di pintu masuk utama negara, proses hanya 4 hingga 5 saat

harisfadli@hmetro.com.my

Sepang: Proses kemasukan pengembara di pintu masuk utama negara memakan masa hanya empat ke lima saat sahaja menerusi pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau meninjau sendiri proses integrasi sistem baharu itu di beberapa pintu masuk seluruh negara bagi menggantikan sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Menurutnya, Malaysia mencatat 4.6 juta kemasukan pengembara sepanjang tahun ini yang merupakan satu angka besar justeru memerlukan sebuah sistem konsisten dan kesiapsiagaan tinggi.

“Dari sudut keselamatan dalam negeri, trend kemasukan yang tinggi ini memberi maksud bahawa pintu masuk utama negara perlu berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Disiplin organisasi mesti konsisten dan tidak boleh terganggu. Pada masa yang sama, kita perlu memanfaatkan teknologi secara menyeluruh bagi memastikan kelancaran pergerakan tanpa mengabaikan keselamatan negara,” katanya pada sidang media selepas selesai meninjau pengoperasian MyNIISe di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban.

Saifuddin Nasution berkata, disamping sistem MyNIISe, KLIA turut dilengkapi kira-kira 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) yang menjadi ‘mata-mata’ memperhatikan setiap ruangan di lapangan terbang itu.

Katanya, keselamatan negara kekal menjadi keutamaan Kementerian melebihi keperluan melancarkan pergerakan pelawat asing yang masuk ke Malaysia.

Menurutnya, dalam lawatan ke KLIA beliau memantau sistem operasi CCTV milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang sangat membantu AKPS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan tugas.

“Saya juga melihat kelancaran proses pemeriksaan di pintu masuk negara, khususnya pemeriksaan bagasi. AKPS bertanggungjawab memastikan kelancaran pergerakan penumpang dan barangan, serta memastikan tiada barangan terlarang seperti dadah, senjata dan lain-lain.

“Saya menyaksikan sendiri operasi bilik gerakan bermula daripada bagasi dimasukkan, sistem pengasingan dan pemeriksaan dilakukan melalui proses screening dan sorting. Ini memberi gambaran jelas bagaimana AKPS menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Menurutnya, pihak AKPS turut melaksanakan laluan khas iaitu Nothing to Declare dan Goods to Declare untuk mempercepat aliran penumpang tanpa menjejaskan pematuhan undang-undang.

“Pendekatan risk profiling dan intelligence-led enforcement turut dilaksanakan yang difokuskan kepada penumpang berisiko tinggi. Ini bermakna dalam fasa kedua, AKPS akan diberi keutamaan untuk menambah aset berasaskan teknologi,” katanya.

Menurutnya, sistem MyNIISe akan dipasang pada kira-kira 65 sistem pintu masuk automatik di KLIA dan titik masuk lain di seluruh negara.

Pada masa sama, pada peringkat awal peralihan sistem baharu beliau menjangkakan akan berlaku sedikit masalah teknikal dari masa ke semasa namun pihaknya sudah bersedia dan memberi jaminan penyelesaian segera dilaksanakan.

“Sistem ini membolehkan pemeriksaan dilakukan melalui tiga kaedah, pengecaman wajah (face recognition), kod QR dan pasport itu sendiri.

“Saya melihat sendiri proses ini mengambil sekitar empat hingga lima saat sahaja, munasabah. Ini amat signifikan kerana kita mahu mengurangkan kesesakan di lapangan terbang sama ada semasa ketibaan atau pelepasan.

“Ini satu game changer. Saya berpuas hati dengan prestasi sistem autogate ini yang akan menggantikan sistem lama secara berperingkat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top