Kehilangan Mencurigakan Berakhir Tragis, Saksikan Kes Pembun*han Kejam Warga Emas Dalam ‘Fail Mahkamah TV3’ Malam Ini!

Kehilangan Mencurigakan Berakhir Tragis, Saksikan Kes Pembun*han Kejam Warga Emas Dalam ‘Fail Mahkamah TV3’ Malam Ini!

Edisi Fail Mahkamah pada 5 Mac 2025 bakal merungkai satu kes pembunuhan kejam yang menggemparkan negara, membabitkan seorang wanita warga emas yang menjadi mangsa dalam insiden tragis pada 3 Mei 2020.

Kejadian berlaku di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, Perak, apabila Zaharah Khalid, 77, ditemui mati dibunuh oleh sahabat lamanya, Muhammad Shaharuddin Zakaria, 68. Insiden menyayat hati ini dikatakan berpunca daripada perselisihan faham berkenaan wang.

Pada pagi kejadian, Zaharah keluar dari rumahnya seperti kebiasaan. Namun, kegagalan beliau pulang sehingga malam menimbulkan kebimbangan ahli keluarga, sehingga anaknya membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan mencari ibunya.

Pihak berkuasa segera menjalankan siasatan dan dalam operasi pencarian, mereka menemukan mayat Zaharah dalam keadaan tertiarap di dalam sebuah parit. Penemuan mengejutkan ini menimbulkan tanda tanya mengenai punca kematiannya.

Seorang saksi tampil memberikan maklumat penting, mendakwa mendengar jeritan Zaharah datang dari rumah suspek pada petang kejadian. Petunjuk ini membantu pihak polis dalam mengenal pasti suspek utama kes ini.

Zaharah dilaporkan pergi ke rumah Muhammad Shaharuddin untuk berbincang mengenai isu kewangan yang menjadi punca ketegangan antara mereka. Namun, perbincangan itu bertukar menjadi pertengkaran hebat sebelum suspek bertindak ganas.

Dalam keadaan marah, suspek menampar Zaharah sehingga wanita itu tidak sedarkan diri. Tidak berhenti di situ, dia kemudian memijak mangsa berulang kali, menyebabkan kecederaan serius. Suspek turut menjerut leher Zaharah menggunakan tudung dan kain tuala bagi memastikan mangsa tidak lagi bernyawa.

Bagi menghilangkan bukti jenayah, suspek menggunakan kereta sorong untuk membawa mayat Zaharah sebelum membuangnya ke dalam parit. Motosikal milik Zaharah turut ditemui tersembunyi di kawasan yang dipenuhi daun sawit, dipercayai sebagai usaha untuk mengaburi siasatan pihak polis.

Bagaimanapun, hasil penyiasatan lanjut membawa kepada penangkapan Muhammad Shaharuddin di kediamannya. Ketika ditahan, suspek langsung tidak menunjukkan sebarang tanda panik atau usaha untuk melarikan diri.

Hasil bedah siasat mendedahkan punca kematian Zaharah adalah kesan jerutan pada leher serta tanda-tanda lemas. Keadaan air keruh yang ditemui di dalam paru-paru menunjukkan bahawa mangsa masih bernyawa ketika mayatnya dibuang ke dalam parit, menjadikan kes ini lebih menyayat hati.

Muhammad Shaharuddin, yang bekerja sebagai nelayan dan tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini, dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh jirannya.

Pada asalnya, dia dihukum mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat. Namun, berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori, hukumannya dikurangkan kepada 38 tahun penjara sebagai hukuman yang setimpal.

Perubahan sikap suspek dikatakan mula ketara selepas kematian ibunya, di mana dia menjadi lebih panas baran dan mudah beremosi, berbeza dengan perwatakannya sebelum ini yang dikenali sebagai seorang yang baik dalam komuniti.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kes ini, jangan ketinggalan menyaksikan Fail Mahkamah setiap Rabu jam 9 malam di TV3 atau strim secara langsung melalui Tonton!

Scroll to Top