Miliki 81 tengiling tanpa permit: Mahkamah kekalkan sabitan, hukuman penjara dikurangkan

Miliki 81 tengiling tanpa permit: Mahkamah kekalkan sabitan, hukuman penjara dikurangkan

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan terhadap seorang anggota polis kerana menyimpan 81 ekor tengiling tanpa permit khas, namun mengurangkan hukuman penjara daripada enam tahun enam bulan kepada setahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah menolak rayuan Mohd Sharwandy Sollahudin terhadap sabitan empat pertuduhan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara 24 bulan bagi pertuduhan pertama serta 78 bulan masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dan menggantikannya dengan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan keempat, dan memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak.

Mohd Sharwandy, 40, diperintah menjalani hukuman itu berkuat kuasa hari ini, sebelum ini dia diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman dan dibebaskan dengan jaminan RM30,000 bersama dua penjamin sementara menunggu keputusan rayuan.

Barisan panel hakim yang turut disertai Hakim Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, sebulat suara berpuas hati bahawa sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi adalah selamat serta tidak mengandungi sebarang kesilapan fakta yang serius.

Hakim Azman berkata terdapat bukti yang kukuh, dan berdasarkan keterangan pihak pendakwaan, pasukan serbuan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan pemantauan bermula 6.30 pagi, ketika itu tertuduh dilihat berada di lokasi pada 7 pagi dan seterusnya ditahan pada 12 tengah hari.

“Tiada bukti menunjukkan kehadiran mana-mana pihak lain di lokasi dan kes pendakwaan turut diperkukuh dengan tindakan tertuduh yang cuba menghalang pasukan serbuan daripada memasuki premis,” katanya.

Pada 29 Mei 2024, Mahkamah Sesyen Alor Setar mensabitkan Mohd Sharwandy atas semua empat pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun enam bulan. Mahkamah Tinggi menolak rayuannya pada 17 Mac tahun lepas.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Teratai Permai, Jalan Langgar, Alor Setar pada 18 Sept 2018, 12.35 tengah hari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top