ISN sedia beri perkhidmatan seperti biasa buat Azizulhasni

ISN sedia beri perkhidmatan seperti biasa buat Azizulhasni

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) sedia memberikan perkhidmatan seperti biasa kepada Datuk Azizulhasni Awang sekiranya jaguh berbasikal trek negara itu meneruskan kariernya dan berada di bawah program yang melayakkannya untuk menerima perkhidmatan daripada agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P Vellapandian berkata, ketika ini beliau tidak dapat memberi gambaran khusus bentuk perkhidmatan berkenaan kerana belum ada kata putus daripada The Pocket Rocketman.

“Kami belum dimaklumkan mengenai statusnya. Tetapi seperti biasa, kalau mana-mana atlet berada di bawah program sama ada RTG (Road to Gold) atau Program Podium, kami akan memberi perkhidmatan seperti mana sebelum ini.

“Kami memang mempunyai jumlah kakitangan yang terhad untuk perkhidmatan sains dan perubatan. Tetapi menerusi program di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), kami akan berikan keutamaan dan beri perkhidmatan macam biasa.

“Malah untuk pasukan berbasikal, kami sudah sediakan beberapa kakitangan yang akan membantu mereka. Jadi, sekiranya Azizul teruskan (kariernya), seperti saya katakan tadi, kami akan teruskan perkhidmatan seperti biasa,” katanya.

Vellapandian berkata, demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Besbol (B5) yang akan menyertai saingan Piala Asia Remaja B5 di Taiwan bermula 11 Mac ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi laporan Arena Metro sebelum ini berkata, pihaknya bersama Azizulhasni sedang menunggu masa sesuai untuk mengumumkan hala tuju karier bekas juara dunia keirin itu selepas mengadakan pertemuan dengannya minggu lalu.

Terdahulu, Azizulhasni mengesahkan dirinya tidak beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dari 21 hingga 27 Februari lalu.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan kembali berkayuh, tetapi masih belum menetapkan tempoh masa untuk berbuat demikian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top