am@hmetro.com.my
Ipoh: Kerajaan Perak hari ini mengumumkan ‘bonus raya’ iaitu Bantuan Khas Kewangan Raya (BKK Raya) RM1,500 kepada semua 13,582 penjawat awam negeri.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata BKK itu akan diberikan termasuk kepada guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ) serta pekerja sambilan harian.
Bantuan yang akan dibayar pada 24 Mac itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta kepada kerajaan negeri.
Saarani berkata, kenaikan kadar BKK itu antaranya didorong oleh amalan berjimat kerajaan negeri selain didorong pertambahan hasil negeri termasuk menerusi perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), kestabilan politik, serta kemasukan pelabur.
“Ini adalah rahmat dan rezeki daripada Allah SWT kepada kita, yang ada sumber mineral, dan nikmat Allah itu juga datang dalam bentuk kestabilan politik.
“Kita tengok pelabur pun sudah berminat dan mula datang ke negeri Perak untuk mengembangkan pelaburan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar bersama penjawat awam di sini, malam ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin.
Sebagai rekod, jumlah BKK Raya kali ini menunjukkan peningkatan berbanding RM1,000 sempena Aidilfitri tahun lalu, yang mana bagi tahun lalu seramai 995 ketua kampung di negeri ini turut menikmati BKK Raya tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



