hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Tak apa nak (anak)… Pak Su janji jaga awak sampai besar. Makan pakai, pendidikan awak semua Pak Su tanggung sampai awak besar. Kalau Pak Su tak kahwin dulu pun tak apa buat masa ini, asalkan awak tak terabai,” luah Helmi Shafee, 35, menerusi satu muat naik di media sosial baru-baru ini.
Kata-kata itu dimuat naik Helmi atau dipanggil Pak Su dalam kalangan ahli keluarga bersama sebuah video pendek sambil menyikat rambut anak saudaranya, Nursofea Mikaila Mohd Azlan, 6, yang baru kehilangan bapanya, Mohd Azlan Mohd Zainal, 40, pada 16 April lalu akibat diabetes.
Helmi berkata, Mohd Azlan ialah abang ipar yang berkahwin dengan kakak sulungnya, Suzilawati Shafee, 40, atau dipanggil mesra disapa sebagai Kak Long.
“Sejak Kak Long melahirkan Nursofea, dia tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Kemudian abang ipar saya disahkan menghidap diabetes dan meninggal dunia pada Khamis lalu.
“Jadi Kak Long dan Nursofea tiada lagi tempat bergantung termasuk dari segi kewangan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.
Perkongsian Helmi mengenai luahan hatinya menerima pelbagai komen positif daripada pengguna media sosial yang tersentuh dengan sikapnya sebagai adik dan bapa saudara dalam memastikan kebajikan ahli keluarganya terus terpelihara serta tidak terabai.
Helmi berkata, atas rasa tanggungjawab sebagai adik lelaki dan bapa saudara, dia mengambil keputusan membawa kakak serta anak saudaranya dari Gelang Patah, Johor untuk tinggal bersamanya di Cheras dalam masa terdekat.
“Saya tidak sanggup melihat Kak Long dan Nursofea melalui tempoh sukar selepas kehilangan ketua keluarga. Apatah lagi Kak Long tidak berkerja dan perlu membesarkan Nursofea yang masih jauh lagi perjalanan hidupnya.
Katanya, ketika ini dia menguruskan proses perpindahan kakak dan anak saudaranya ke Cheras di Kuala Lumpur.
“Saya akan bawa balik mereka tinggal bersama saya di Cheras supaya lebih mudah untuk saya bantu dari segi penjagaan dan kewangan.
“Saya janji dengan arwah abang ipar dan diri sendiri, saya akan jadi tonggak utama keluarga ini sehingga Kak Long benar-benar stabil,” katanya.
Helmi yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi berkata, selain berkerja sebagai pensyarah, dia turut mengusahakan pusat tuisyen secara sambilan bagi menambah pendapatan keluarga.
Katanya, dia sanggup menangguhkan hasrat untuk berkahwin demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kebajikan kakak dan anak saudaranya.
“Kalau saya berkahwin, komitmen mungkin berbeza. Buat masa ini saya mahu fokus kepada mereka dahulu. Kalau Pak Su tak kahwin pun tak apa, asalkan mereka tidak terabai.
“Jodoh itu ada, cuma sekarang tanggungjawab saya adalah menjaga kakak dan Nursofea,” katanya.
Katanya, hubungan dirinya dengan Nursofea sangat rapat sejak kanak-kanak itu dilahirkan dan dia menganggap anak saudaranya seperti anak sendiri.
“Daripada lahir lagi saya sudah rapat dengan dia. Dia memang kesayangan saya, princess saya. Bila dia sedih kehilangan ayah, saya cuba hiburkan dia supaya kembali ceria.
“Saya juga tidak sabar untuk menjaga Nursofea di Kuala Lumpur kerana saya mahu menyekolahkannya dan menjaga kebajikan Kak Long,” katanya.
Menurutnya, harapan paling besar ketika ini adalah mahu melihat Nursofea berjaya dalam pelajaran dan membesar sebagai insan berguna.
“Bagi saya pendidikan paling utama. Saya akan buat apa sahaja supaya masa depan dia terjamin,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




