MOSCOW: Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan serangan udara terbaru menyasarkan pangkalan pengganas di timur laut Palmyra, Syria mengorbankan 200 militan.
Russia mendakwa pengganas terbabit merancang melakukan serangan menjelang pemilihan presiden di Syria bulan depan.
“Selepas mengesahkan data melalui beberapa saluran mengenai lokasi pangkalan pengganas, pesawat Angkatan Udara Russia melancarkan serangan udara.
“Dua tempat persembunyian musnah selain kira-kira 200 militan, 24 kenderaan dilengkapi mesingan serta sekitar 500 kilogram (kg) peluru dan komponen membuat alat peledak buatan sendiri,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Namun, kenyataan itu tidak menjelaskan masa serangan atau nama kumpulan militan yang disasarkan.
Difahamkan, sasaran mereka adalah markas tersembunyi di mana lokasi kumpulan militan merancang serangan yang dilakukan di Syria dan menghasilkan bahan letupan.
Mereka dikatakan secara khusus merencana serangan terhadap agensi pemerintah di kota-kota besar untuk mengganggu ketenteraman awam menjelang pemilihan presiden di Syria.
Pungutan suara yang akan diadakan pada 26 Mei ini adalah yang kedua sejak konflik Syria meletus pada 2011 dengan protes anti pemerintah menyebabkan lebih 388,000 orang terkorban setakat ini.
Russia adalah sekutu utama kepada rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad, sepanjang konflik tercetus dan campur tangan ketenteraan Moscow pada 2015 membantu rejim itu menang dalam pertempuran.
Semalam, Kementerian Pertahanan Russia mendakwa pengganas sedang dilatih di beberapa kem di kawasan tidak dikawal oleh rejim Syria termasuk di wilayah Al-Tanf, yang dikendalikan tentera Amerika Syarikat (AS).
Moscow pada Februari lalu mengecam serangan AS ke atas anggota keselamatan yang disokong Iran di timur Syria dan menuntut Washington menghormati integriti wilayah negara itu.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata Russia ingin mengetahui rancangan Washington di Syria dan yakin AS tidak akan meninggalkan negara itu. -AFP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




