am@hmetro.com.my
Jasin: Jumlah mangsa banjir di Melaka dijangka meningkat sekiranya hujan lebat melebihi tiga jam berlaku malam ini.
Ia berikutan keadaan air pasang besar di sekitar perairan Selat Melaka.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, susulan itu pihaknya bersama agensi keselamatan lain bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menyediakan kemudahan bagi pemindahan mangsa banjir.
Beliau berkata, sehingga jam 4 petang tadi, seramai 225 mangsa daripada 65 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) dengan dua masing-masing di daerah Melaka Tengah dan Jasin.
“Sekiranya hujan tertumpu di kawasan rendah, ada kemungkinan mangsa banjir akan bertambah tetapi kalau sekiranya hujan lebat dan berterusan lebih tiga jam di beberapa kawasan lain, berkemungkinan beberapa lagi PPS akan dibuka,” katanya.
Beliau ditemui selepas mengiringi Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin, Datuk Azman Abdullah dan Penghulu Merlimau, Jezlee Pit.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan, APM berkata, setakat jam 4 petang tadi, seramai 150 mangsa daripada 46 keluarga ditempatkan di PPS SMK Dang Anum manakala 19 mangsa ditempatkan di PPS SMK Datuk Abdul Rahman Ya’kub (SDARY).
Selain itu, dua PPS di daerah Melaka Tengah iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong dan PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim masing-masing menempatkan seramai 33 dan 23 mangsa.
Kejadian banjir itu menjejaskan 17 kampung dan 15 taman perumahan di daerah Melaka Tengah serta sekurang-kurangnya dua kawasan kampung di daerah Jasin.
Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Pengkalan Rama, Kampung Chetty, Kampung Limbongan, Kampung Batu Berendam, Kampung Banda Hilir, Kampung Klebang Kecil dan Taman Gadong Perdana, manakala dua kawasan di Jasin adalah di Kampung Kilang Berapi dan Kampung Asam Kumbang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Melaka esok selain amaran paras air laut pasang pada tahap waspada bermula malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




