Aplikasi Tawakkalna perkasa perkhidmatan keagamaan digital sepanjang Ramadan

Aplikasi Tawakkalna perkasa perkhidmatan keagamaan digital sepanjang Ramadan

Riyadh: Aplikasi Tawakkalna yang digunakan secara meluas di Arab Saudi terus memperkayakan pengalaman ibadah jutaan umat Islam sepanjang Ramadan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan keagamaan digital yang disesuaikan mengikut keperluan mereka.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), aplikasi itu menyediakan ciri penentuan arah kiblat yang sangat tepat serta memberi kemas kini mengenai imam yang mengimamkan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Aplikasi berkenaan turut dilengkapi al-Quran digital yang membolehkan pengguna membaca kitab suci itu, selain waktu solat meliputi pelbagai wilayah negara berkenaan bagi memastikan mereka sentiasa dimaklumkan mengenai waktu azan, iqamah dan sahur.

Menerusi perkhidmatan “Ehsan”, Tawakkalna memudahkan amalan sedekah dengan membolehkan pengguna menderma untuk pelbagai tujuan hanya dalam beberapa langkah, termasuk program tajaan untuk anak yatim yang memerlukan.

Selain itu, gerbang “Manasik” dalam aplikasi itu memudahkan permohonan permit bagi menunaikan umrah dan solat di Raudhah, sekali gus mempercepatkan proses tempahan bagi jemaah.

Dengan lebih 650 perkhidmatan kerajaan yang disepadukan dalam satu platform selamat, Tawakkalna memainkan peranan penting dalam transformasi digital Arab Saudi.

Aplikasi itu terus meningkatkan kualiti hidup rakyat, penduduk dan pelawat, sejajar dengan matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top