Jayakan Projek ‘100 Lagu 100 Tahun’, Lah Ahmad & Dr Azmeer Beri ‘Penantian’ Nafas Baharu

Jayakan Projek ‘100 Lagu 100 Tahun’, Lah Ahmad & Dr Azmeer Beri ‘Penantian’ Nafas Baharu

Lagu Penantian yang pernah menjadi siulan ramai pada era 1980-an, kini diberi nafas baharu menerusi Projek 100 Lagu 100 Tahun.

Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Allahyarham Zubir Ali ini, yang diterbitkan pada tahun 1981, dikenali kerana melodi yang mendalam dan lirik puitisnya yang menyentuh jiwa.

Mengangkat tema rindu dan harapan dalam penantian, lagu ini masih relevan dan terus dihargai dalam dunia muzik Melayu.

Dalam versi terbaharu ini, Penantian digubah semula dengan susunan muzik yang lebih segar dan kontemporari oleh komposer terkenal, Dr Azmeer.

Manakala, vokal diberikan sentuhan baharu oleh penyanyi berbakat besar, Lah Ahmad.

Penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan Voice of Euphonious (V.E) pada tahun 1999 dan dikenali dalam genre R&B serta pop. Selain penglibatannya dalam V.E., Lah juga menyertai kumpulan Al-Maulid yang berfokus kepada lagu-lagu nasyid.

Sekitar tahun 2014, Lah memacu kerjaya solo dengan album berkonsepkan unsur kerohanian yang menggabungkan elemen R&B dan soul.

Sehingga kini, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu 22 ini telah menerbitkan empat album solo.

“Lagu Penantian bagi saya adalah sebuah lagu yang semakin didengar, semakin lebih indah dan menggenggam jiwa.

“Saya berharap versi baharu Penantian dapat diterima oleh generasi muda serta mendapat perhatian media radio dan televisyen,” katanya.

Projek 100 Lagu 100 Tahun merupakan sebuah inisiatif istimewa yang menghimpunkan 100 lagu terbaik sepanjang satu abad dalam industri muzik Melayu.

Projek ini bukan sahaja merangkumi penerbitan semula dalam bentuk audio dan visual, tetapi turut memperkenalkan sebuah buku meja kopi yang mendokumentasikan sejarah, latar belakang serta impak sosial lagu-lagu yang dipilih.

Melalui projek ini, khazanah seni negara dalam bentuk melodi indah yang pernah memberi kesan besar dalam sejarah muzik tanah air dapat dikekalkan dan diperkenalkan semula kepada generasi baharu.

Scroll to Top