Neville gesa final Piala Liga dibatalkan

Neville gesa final Piala Liga dibatalkan

LONDON: Bekas pertahanan England, Gary Neville menggesa aksi final Piala Liga dibatalkan kerana Manchester City dan Tottenham ‘tidak kisah’.

Dua kelab berkenaan dijadual bertemu di Stadium Wembley, Ahad ini bagi merebut trofi pertama mereka musim ini. City sedang memburu kemenangan di pentas final buat kali keempat berturut-turut, manakala Spurs berharap untuk menamatkan kemarau penantian 13 tahun tanpa trofi.

Neville bagaimanapun percaya perancangan kedua-dua kelab itu adalah menyertai Liga Super Eropah (ESL) dan tindakan mereka membelakangkan bola sepak Inggeris adalah sesuatu yang harus dihukum.

Bercakap dalam satu temubual, Neville yang juga bekas pemain Manchester United berkata: “Kita harus bertindak di sini. Kita perlu melancarkan serangan besar. Idea yang akan berlaku sesuatu… batalkan perlawanan pada Ahad, City bertemu Spurs.

“Siapa kisah mengenainya? Mereka tidak kisah tentang perkara ini. Batalkan. Mereka tidak kisah mengenai bola sepak Inggeris. Kenapa perlu mereka bermain di final Piala Liga?

“Perkara seperti ini, buat saya sekarang, perlu dibincangkan kerana mereka harus tahu mereka tidak boleh membuli semua orang di negara ini.

“Mereka membuli 14 kelab, EFL, FA dan mereka yang mentadbir negara ini.”

City dan Spurs turut disertai Liverpool, Manchester United, Chelsea dan Arsenal sudah bersetuju menyertai ESL.

Peminat yang berang berkumpul di stadium untuk menyuarakan kemarahan mereka kepada pemilik kelab dan Neville percaya pertembungan antara United dan Liverpool pada 1 Mei ini turut tidak membawa makna buat kedua-dua pasukan. – Agensi

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top