Paris: Ousmane Dembele menjaringkan dua gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) membuat persiapan menjelang perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) menentang Liverpool apabila menang 4-1 ke atas Rennes di tempat lawan saingan Ligue 1.
Pasukan yang diturunkan kali ini melalui banyak perubahan berbanding ketika mereka tewas kepada Liverpool pada perlawanan pertama UCL.
Bradley Barcola dan Goncalo Ramos membawa PSG 2-0 mendahului di Brittany sebelum Lilian Brassier merapatkan kedudukan untuk Rennes, namun Dembele menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan untuk menamatkan perlawanan dan memastikan kemenangan buat pasukan pelawat.
Keputusan ini membolehkan pendahulu Ligue 1 itu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka di peringkat domestik musim ini.
Pasukan PSG kini mendahului liga dengan kelebihan 16 mata dengan pencabar terdekat mereka, Marseille, tewas 0-1 di tempat sendiri kepada Lens awal pagi tadi.
Walaupun jurulatih Luis Enrique membuat lapan perubahan pada kesebelasan utamanya berbanding senarai pemain yang diturunkan ketika menentang Liverpool, PSG akhirnya meraih kemenangan selesa, dengan perlawanan kedua di Anfield dijadualkan awal pagi Rabu ini.
“Kami dalam keadaan sempurna untuk pergi dan berdepan Liverpool. Tiada apa yang perlu kami dikhuatiri dan kami akan memberi segala-galanya untuk mencuba layak ke suku akhir.
“Ia agak sukar, tetapi kami mempamerkan persembahan yang serius dan ini memberi kami harapan sebelum berkunjung ke Liverpool,” tambah jurulatih dari Sepanyol itu mengenai persembahan pasukannya.
Barcola, Joao Neves, dan Willian Pacho adalah pemain yang mengekalkan tempat mereka dalam kesebelasan utama PSG menentang Rennes selepas kekalahan 0-1 di tempat sendiri kepada Liverpool pada perlawanan pertama, Rabu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



