Anak sulung A Aida tangguh pengajian sebab hamil

Anak sulung A Aida tangguh pengajian sebab hamil

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penerbit drama, Datuk A Aida, 55, akur anak sulungnya, Wan Az Aleesa, 27, terpaksa menangguhkan seketika pengajian dalam bidang kedoktoran di Indonesia kerana hamil.

A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang berkata, walaupun dia mahu anaknya itu menamatkan pengajian terlebih dulu sebelum hamil, namun rezeki zuriat daripada Allah tidak boleh dielak dan bersyukur saja.

“Anak saya baru hamil enam minggu, Alhamdulillah. Cuma ketika dia hendak kahwin dulu, saya ada luahkan kepadanya agar selesaikan belajar sebelum hamil. Tapi, kita hanya merancang dan Allah yang tentukan rezeki zuriat itu.

“Jadi, buat masa sekarang dia tangguhkan pengajiannya dan kini bersama dengan menantu, dia bantu menguruskan perniagaan homestay saya di Pahang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut A Aida, hamil ketika masih menyambung pengajian di universiti sudah tentu sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepada anaknya dan biarlah sekarang Aleesa berehat dulu sehingga bersalin.

“Bukan senang nak dapat rezeki anak. Ini kerana saya sendiri melihat ramai pasangan yang lama berkahwin dan masih tidak dapat anak, berusaha macam-macam termasuk buat IVF untuk miliki zuriat.

“Apabila Allah dah berikan rezeki zuriat kepada anak saya, tak akan pula nak tolak dan tidak bersyukur. Saya kini berharap cucu nanti dilahirkan dengan sihat dan dipermudahkan segala urusan nanti,” katanya.

Terdahulu, Wan Az Aleesa bertemu jodoh dengan lelaki pilihannya, Zain Azrai Abdul Aziz pada 15 Julai 2023 dalam majlis pernikahan mereka berlangsung di Bukit Tinggi, Pahang.

Selain Wan Az Aleesa, dua lagi cahaya mata A Aida menerusi perkahwinan lalunya ialah Wan Azevanatassha, 22 dan Muhammad Rahul, 15.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top