lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 11 ahli kongsi gelap berkaitan dadah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu.
Tertuduh, A Raja Ratanam, K Sunthreson, C Vijaya Kumar, N Nadarajah, T Raman, R Vijayan, M Kumaaran, N Harichandran, S Maran, Suwaran Singh Minder Singh dan Mohd Atif Mohammad Ali Khan berusia antara 22 hingga 48 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tuduhan kumpulan jenayah terancang di bawah bidang Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng RT6” di Sentul antara 14 Januari 2020 hingga 27 April 2026 mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan.
Tertuduh, Raja Ratanam, Kumaaran dan Harichandran diwakili peguam, Datuk Rajpal Singh, manakala Sunthreson, Suwaran Singh dan Mohd Atif diwakili peguam, Eu Kah Mun.
Peguam, M Mathaven, Grace Francis dan Muhammad Izzhar Idris mewakili tertuduh, Vijayan, manakala peguam, S Kirthen dan S Premila mewakili tertuduh, Maran.
Peguam, Kelvin Francis mewakili tertuduh Vijaya Kumar.
Nadarajah dan Raman pula tidak diwakili peguam.
Hakim Izralizam tidak membenarkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Jun depan.
Semalam, Harian Metro melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai Geng RT6 menerusi tindakan mengikut Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA).
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, sindiket itu dipercayai aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah serta jenayah kekerasan di sekitar Lembah Klang sejak 2020.
Menurutnya, JSJN melancarkan operasi pada 27 April lalu dan berjaya menahan 12 lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang yang kemudian diambil tindakan mengikut SOSMA.
© New Straits Times Press (M) Bhd




